BEKAS pemain Negeri Sembilan FC musim 2021, R. Barathkumar menyifatkan skuad bimbingan K Devan bakal menjadi pasukan tumpuan dan diberikan perhatian pencabar selepas berjaya menduduki tangga keempat Liga Super, musim lalu.

Pemain yang lahir pada 23 April 1992 ini percaya kekecewaan gagal layak ke Piala AFC pada musim lalu masih dirasai oleh pemain-pemain yang bersama pasukan dari musim lalu.

“Kami tekad untuk menebusnya kali ini. Jangkaan dan harapan daripada penyokong Negeri Sembilan juga tampak tinggi setelah pasukan berjaya pamerkan prestasi yang konsisten musim lalu.

“Di bawah Devan dan barisan pemain yang ada, saya rasa Negeri Sembilan boleh cuba untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian yang kami buat sepanjang 2022,” katanya yang sah memperkuatkan NSFC musim ini.

Ujarnya lagi, walaupun mendapat tawaran daripada pasukan lain, Barathkumar berasakan Negeri Sembilan sebagai pilihan yang paling ideal selain mahu bekerjasama dengan K.Devan.

Kecederaan dialami musim lalu nyata membataskan peluangnya untuk mempamerkan aksi bersama PJ City FC.

Dia mengharapkan mampu kembali menyinar bersama skuad Hobin Jang Hobin sepertimana yang pernah dipamerkan pada musim 2021 apabila membantu Negeri Sembilan muncul juara Liga Premier 2021.

“Bukan satu pilihan yang mudah pada awalnya untuk buat keputusan ke Negeri Sembilan sebaik mendapat tahu PJ City tidak lagi meneruskan perjuangan pada musim baharu,” katanya.

Barathkumar menjadi pemain terbaharu menguatkan Negeri Sembilan selain adiknya, R. Aroon Kumar dan bekas penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri Mohd Fauzi.

Bersama PJ City, Barathkumar hanya mampu meledak satu jaringan dalam 11 penampilan secara keseluruhan dengan hanya tiga daripadanya bermula dalam kesebelasan utama.

Ini berbeza dengan penampilannya pada musim 2021 dengan Negeri Sembilan apabila Barathkumar berjaya menjaringkan lima gol dalam 21 penampilan (17 kesebelasan utama, 4 pemain gantian).