KETUA Jurulatih skuad hoki kebangsaan, A. Arul Selvaraj dapat melihat tiga perkara positif dalam setiap pemain ketika perlawanan persahabatan menentang Sepanyol sebagai persiapan terakhir menghadapi Kejohanan Piala Dunia Hoki 2023 di Odisha, India.

Dalam perlawanan itu, Speedy Tigers tewas 2-3 tetapi itu bukanlah indikator utama yang mahu diberikan perhatian oleh Arul sebaliknya dia dapat melihat tiga perkara positif pada setiap pemain.

Arul berkata antara perkara utama yang dapat dilihat adalah para pemain kelihatan selesa dengan ‘set up’ taktikal yang baharu dengan penekanan kepada kepantasan bola, ‘defending circle’ dan juga ‘attacking central’.

 

Selain itu Arul juga berpuas hati melihat para pemain semakin yakin apabila memegang bola dan keharmonian dalam pasukan juga dapat dilihat apabila pemain kelihatan bermain dengan gembira dan percaya antara satu sama lain.

Arul turut berharap agar skuad negara dapat mempamerkan persembahan taktikal disiplin yang tinggi pada perlawanan pembukaan kerana ianya penting sebagai momentum untuk di bawa ke perlawanan kedua dan ketiga nanti.

“Saya berikan tiga penekanan dalam aksi persahabatan ini iaitu kepantasan bola, ‘defending circle’ dimana para pemain perlu menjaga lawan dengan lebih ketat dan agresif tetapi tenang serta ‘attacking central’ yang perlu memanfaatkan peluang dengan lebih baik.

“Harapan saya untuk perlawanan pembukaan nanti adalah untuk turun bermain dengan taktikal disiplin yang tinggi untuk kita capai kejayaan dari segi persembahan kerana ianya penting untuk dibawa ke perlawanan kedua dan ketiga”, katanya selepas perlawanan itu.

 

Malaysia akan behadapan Belanda pada 14 Januari 2023 sebelum bertemu Chile pada 16 Januari 2023 dan mengakhiri aksi Kumpulan C bertemu New Zealand pada 19 Januari 2023 dengan sasaran yang ditetapkan adalah melepasi peringkat kumpulan.