SKUAD hoki negara di harap melangkah lebih jauh di kempen Kejohanan Piala Dunia 2023 Bhubaneswar-Rourkela, India.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh Hannah berkata, harapan ini berdasarkan kepada persiapan rapi pasukan negara yang  mampu melakar kejutan dengan sekurang-kurangnya melepasi sasaran iaitu beraksi di peringkat suku akhir.

Tambahnya lagi, doa penyokong sukan tanah air ditagih agar  skuad kendalian A.Arul Selvaraj tidak berhadapan masalah mencipta keputusan positif pada perlawanan pertama menentang Belanda, Sabtu ini.

“Kita berharap pasukan hoki negara meraih kejayaan positif dan selamat maju jaya kepada mereka di kejohanan Piala Dunia itu.

“Harap mereka boleh melangkah lebih jauh iaitu beraksi di peringkat final dan jika itu dapat berjaya dicapai, kita akan mengadakan tayangan skrin besar di kawasan tertentu,” katanya, ketika ditemui di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Khamis.

Selepas menentang juara tiga kali Belanda pada aksi pembukaan Kumpulan C pada kejohanan itu Sabtu ini, Malaysia yang kini berada dikedudukan ke-11 dunia dijadual berdepan Chile yang berada di ranking ke-22 dunia pada 16 Januari, sebelum menamatkan saingan kumpulan berdepan New Zealand (kesembilan dunia) selang tiga hari kemudian.

Juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) dalam pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.

Skuad hoki Malaysia sudah sembilan kali beraksi di pentas Piala Dunia dengan pencapaian terbaik adalah memperoleh tempat keempat.