PENGALAMAN melatih skuad kebangsaan Indonesia yang dimiliki jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, menjadi input berguna buat Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, ketika melangkah ke suku akhir Terbuka Malaysia.

Berdepan pasangan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dari Indonesia yang berada di ranking ke-12 dunia, Tang Jie-Ee Wei kelihatan tenang dan yakin.

“Dia (Nova) sangat berpengalaman dan profesional, kita berterima kasih pada dia.

“Jurulatih beritahu Rehan dan Lisa amat bagus, konsisten ketika bertahan dan bijak mengawal bulutangkis. Jadi jika kami ‘kill’ tapi tidak menjadi, kami perlu bersabar dan tidak boleh terburu-buru untuk mendapatkan mata,” kata Tang Jie, selepas mereka menang ke atas Rehan-Lisa 21-19, 21-16.

Eei Wei pula mengakui bersemangat dan teruja dalam perlawanan itu namun sentiasa diingatkan Tang Jie supaya mengawal diri.

“Paling utama, kami fokus pada servis dan membalas servis dengan baik, itu kunci kemenangan hari ini kerana keadaan angin tidak sama berbanding semalam.

“Mungkin disebabkan kehadiran ramai penonton, menjadikan angin berbeza dan pergerakan bulu tangkis lebih perlahan,” kata Ee Wei.

Begitupun, gandingan itu belum berpuas hati dengan prestasi hari ini, kerana melakukan kesalahan yang tidak perlu.

“Untuk perlawanan suku akhir, kami perlu bermain lebih kemas kerana pemain Thailand sangat berpengalaman.

“Mereka tahu permainan saya tapi mereka tidak pernah menentang Ee Wei, mungkin Eei Wei menjadi senjata rahsia kita,” kata Tang Jie.

Gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Samsiree Taerattanachai ke suku akhir selepas mengatasi pasangan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan 21-12, 21-13.

Tang Jie-Ee Wei menjadi wakil tunggal negara ke suku akhir dalam acara beregu campuran selepas satu lagi pasangan pilihan, Goh Soon Huat-Shevon Lai tersingkir dari kejohanan selepas tewas kepada pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 16-21, 10-21.