R. KOGILESWARAN yang kini melebarkan sayapnya beraksi bersama kelab daripada Liga Korea Selatan, Chungbuk Cheongju FC mengesahkan bakatnya mula diintai ketika beraksi bersama Harimau Malaya dan Petaling Jaya City FC.

Kogileswaran yang lebih mesra dengan panggilan Kogi mengikat kontrak selama setahun bersama kelab yang bermain di liga divisyen dua (K2) negara itu.

“Mereka telah memantau perkembangan saya ketika beraksi bersama dengan skuad kebangsaan dan juga dalam saíngan Liga Malaysia mewakili PJ City FC.

“Kontrak saya bersama Chungbuk Cheongju FC setahun (2023-2024) dan saya akan menambah baik prestasi dari masa ke semasa.

“Peluang ini akan direbut sebaik mungkin dan akan melakukan yang terbaik demi Malaysia dan juga keluarga saya,” jelasnya kepada FlashSukan, Khamis.

Kogi sah menyertai Chungbuk Cheongju selepas mengikat perjanjian setahun.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur ini yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Singapura, Tampines Rovers namun memilih Liga Korea sebagai destinasi utamanya.

Pemain berusia 24 tahun itu sekali gus menjadi pemain kedua dari rantau Asia Tenggara dalam saingan K2 di mana sebelum ini ketua pasukan skuad kebangsaan Indonesia, Asnawi Mangkualam, beraksi bersama Ansan Greeners FC

Mula menyertai PJ City FC pada 2020 sehinggalah musim lalu dimana sebelum itu Kogi bersama Sri Pahang FC (2016-2019).

Kogi diperkenalkan secara rasmi selaku pemain kelab Chungbuk Cheongju

Kogi yang melakukan enam penampilan untuk Malaysia, menjaringkan dua gol buat Harimau Malaya dalam perlawanan Kumpulan B Piala AFF 2021 di Singapura semasa menewaskan Kemboja 3-1 dalam perlawanan pembukaan dan ketika tewas 1-4 kepada musuh ketat Indonesia dalam perlawanan akhir kumpulan.

Bagaimanapun, Malaysia gagal mara ke separuh akhir selepas menduduki tangga ketiga di belakang Indonesia dan Vietnam kerana hanya dua pasukan teratas layak ke peringkat itu.