BEKAS pemain boling lelaki kebangsaan, Zulmazran Zulkifli berkata dia antara insan yang terhutang budi dengan ikon boling negara, Shalin Zulkifli yang memperkenalkan sukan boling ini kepada rakyat Malaysia.
Zulmazran yang kini bergerak secara profesional di Amerika Syarikat turut mengatakan perbezaan mentaliti dan sikap keterbukaan pemain di sana mendorong lebih banyak bakat-bakat baharu dilahirkan jika dibandingkan dengan keadaan pembangunan sukan di Malaysia.
Dia yang ditemui ketika sidang media klinik boling bersama pemain boling profesional Amerika Syarikat E.J Tackett turut berbesar hati kerana teman baiknya itu sanggup terbang ke Malaysia untuk memberi tunjuk ajar kepada penggemar boling di sini.
“Tanpa Shalin Zulkifli tiada boling di Malaysia. Ini adalah fakta yang perlu kita akui. Semua yang bermain boling terhutang budi dengan Shalin Zulkifli yang telah mengenalkan sukan boling di Malaysia. Dia telah membuka mata banyak pihak termasuk saya untuk bermain boling dan tanpa Shalin tiada boling di Malaysia.
“Di Amerika Syarikat, kesemua pemain dan jurulatih lebih bersikap terbuka dalam menerima cara dan teknik yang dibawa oleh setiap pemain. Di sana juga tidak ada atlet yang mengakui mereka mempunyai teknik terbaik sebaliknya mahu belajar asalkan ianya masih bersesuaian dengan asas sukan boling.
“Saya berbesar hati dengan kehadiran E.J Tackett kerana kami mahu mengetengahkan bahawa boling adalah sukan untuk semua dan diharap E.J dapat membantu menarik minat orang ramai untuk belajar dan mengenali sukan yang saya cintai ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Sementara itu, bagi E.J pula sukan boling sememangnya sudah sebati dalam dirinya sejak kecil dan dia berpendapat sukan ini boleh dimainkan oleh semua golongan tanpa mengira umur dan latar belakang.
Dia juga yakin Malaysia mampu melahirkan lebih banyak bakat-bakat baharu dalam sukan boling seperti Rafiq Ismail dan Natasha Roslan tetapi apa yang penting baginya adalah bagaimana mahu mengajak orang ramai menyertai sukan ini.
Kelas boling secara peribadi bersama E.J Tackett ini dibuka kepada mereka yang berdaftar dengan XPro Shop pada 14 Januari 2023 bermula jam 10 pagi hingga 9 malam di Gurney Bowl UTM Kuala Lumpur dan ini adalah peluang kepada peminat boling tanah air untuk belajar teknik daripada pemain boling profesional dunia.