THAILAND menunjukkan kepada seluruh penyokong bola sepak Asia Tenggara mengapa mereka adalah juara enam kali dan juga penyandang Piala AFF apabila berjaya mengikat Vietnam 2-2 dalam final pertama di Stadium My Dinh, Hanoi.
Dua gol daripada Poramet Arjvirai dan Sarach Yooyen pada babak kedua sudah cukup untuk memberikan Thailand kelebihan dua gol di tempat lawan untuk dibawa ke final kedua Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Bangkok pada Isnin.
Vietnam yang sebelum ini tidak tewas dan tidak dibolosi dipaksa berkerja keras sebelum jaringan penyamaan dua minit sebelum tamat memastikan mereka masih berpeluang untuk bergelar juara.
AFF MITSUBISHI ELECTRIC CUP 2022 | Final 1
FT: Vietnam 🇻🇳 2-2 🇹🇭 Thailand 🇹🇭
⚽ 🇻🇳 Nguyen Tien Linh 24', Vu Van Thanh 88'
⚽ 🇹🇭 Poramet Arjvirai 48', Sarach Yooyen 63'#AFFMitsubishiElectricCup2022#BeTheGameChanger pic.twitter.com/TOOaoC5Oqy— Flash Sukan (@FlashSukan) January 13, 2023
Theerathon Bunmathan sekali lagi menjadi enjin utama pasukan Thailand dengan dua bantuan jaringan yang menarik sekaligus membantu Skuad Gajah Perang bangkit selepas ketinggalan 1-0 pada babak yang pertama.
Perlawanan ini menepati status sebagai final impian dengan Vietnam dilihat lebih menguasai perlawanan pada separuh masa pertama untuk mendahului menerusi ayam tambatan Nguyen Tien Linh untuk gol keenamnya sepanjang kejohanan ini.
Pengendali Thailand, Mano Polking berjaya mengubah permainan Thailand selepas rehat dengan bermain lebih pantas dan akhirnya berjaya memerangkap Vietnam sekaligus menyaksikan Vietnam melepaskan gol pertama dalam kempen ini.
Vu Van Thanh menyelamatkan maruah Vietnam apabila merembat deras dari luar kotak penalti selepas keadaan kelam kabut di hadapan gol Thailand pada minit ke-88 sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah pengendali, Park Hang-seo ke atas Thailand.
Keputusan 2-2 ini memastikan final kedua yang lebih epik bakal disajikan di Stadium Thammasat, Bangkok dan Thailand sudah pasti mahu menggunakan kelebihan dua gol di tempat lawan untuk muncul juara kejohanan buat kali ketujuh.
Perlawanan ini juga adalah aksi terakhir Park Hang-seo mengendalikan skuad Vietnam di tempat sendiri dan dia berjaya mengelak kekalahan sebagai tanda perpisahan kepada penyokong skuad Bintang Emas di Hanoi.