PEMAIN tengah Kuala Lumpur City FC, Arif Shaqirin Suhaimi dijangka menabur khidmat dengan negeri kelahirannya Terengganu musim 2023 selaku pemain pinjaman.
Kurang mendapat tempat bersama skuad Warga Kota, perbincangan mencapai persetujuan kedua-dua pasukan kini berada dalam peringkat akhir dan akan diputuskan dalam masa terdekat.
“Perbincangan untuk melepaskan Arif sebagai pemain pinjaman ke Terengganu FC bermula awal bulan lalu, ada beberapa perkara yang belum dimuktamadkan.
“Jika segalanya lançar Arif akan beraksi bersama pasukan kelahirannya,” jelas sumber rapat pasukan.
Memulakan karier bersama Sekolah Sukan Pahang pada 2015-2017, bakat pemain yang kini berusia 22 tahun disambar Kuantan (2018) sebelum bersama PKNP (2018-2019).
Pernah dikaitkan dengan beberapa pasukan sebelum memilih Kuala Lumpur pada 2020 sehinggalah kini dia hanya melakukan lima penampilan bersama pasukan.
Arif memulakan karier bola sepak secara profesional dengan menyertai Malaysia B16 (2015-2016) dan skuad B19 (2018).