KEKAL ceria pada majlis perpisahan dan persaraan, Goh Liu Ying langsung tidak menitiskan air mata, sememangnya pemain yang cekal dan tenang mengawal situasi, seperti mana perjuangannya sepanjang bergelar pemain beregu campuran berkelas dunia.
Memiliki personaliti yang dominan, Liu Ying yang bergandingan dengan Chan Peng Soon adalah contoh terbaik buat pemain badminton negara, jika benar-benar mahukan kejayaan di pentas dunia.
Sering diulit kecederaan, Liu Ying tetap bangkit bersama Peng Soon mengejar cita-cita menjadi pemain beregu campuran negara pertama yang “mendunia”.
Membantu Malaysia meraih pingat emas Kejohanan Badminton Asia dalam acara berpasukan campuran di New Delhi 2010 dan pingat emas berpasukan campuran Sukan Komanwel 2010, Liu Ying kembali diulit kecederaan lutut yang tidak pernah lekang dalam kerjayanya, menyaksikan pemain kelahiran Alor Gajah, Melaka itu menjalani pembedahan major pada 2014.
Namun berbekalkan semangat juang tinggi, dia bangkit bersama Peng Soon sehingga menghadiahkan pingat perak Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, yang menjadi tahun paling gemilang buat badminton negara.
Ketika menyampaikan ucapan perpisahan, Liu Ying berkongsi pengalamannya yang bertukar status dari pemain perseorangan wanita kepada beregu campuran.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih Rexy (Mainaky) yang memulakan langkah membentuk beregu campuran di Malaysia, sebelum jurulatih Rosman (Razak) menggandingkan saya dengan Peng Soon.
“Kemudian, saya dilatih sepenuhnya oleh Jeremy (Gan) dalam skuad kebangsaan di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebelum dilatih Chin Eei Hui ketika bergelar pemain profesional,” kata Liu Ying menghargai insan-insan yang bertanggungjawab membimbingnya dan Peng Soon sehingga pernah berada di ranking ketiga dunia.
Sementara itu, Eei Hui menganggap Liu Ying seorang yang “sukar dikawal”.
“Sejujurnya, tidak mudah kerana Liu Ying mempunyai personaliti dominan, juga lantang bersuara. Jika bersama Peng Soon, mereka sering bergaduh namun segera menyelesaikan pergaduhan sebelum pulang dari latihan,” kata Eei Hui.
Jeremy pula mengucapkan selamat maju jaya buat Liu Ying untuk kerjaya baharunya.
“Dia dah buat yang terbaik untuk mewakili Malaysia, sekarang adalah new chapter on her life, dia dah buat yang terbaik buat dan membuatkan Malaysia berbangga.
“Saya berbangga kerana seabgai jurulatihnya sebelum ini, banyak yang saya pelajari,” kata Jeremy yang kini melatih skuad beregu Jepun.
Rosman pula menggambarkan Liu Ying sebagai pemain yang penuh warna.
“Perjalanannya sangat getir kerana banyak kecederaan dan seorang yang
boleh dicontohi ramai pemain. Bukan senang pemain yang diulit kecederaan teruk boleh kembali dan bermain di peringkat tertinggi,” kata Rosman.
Pada Majlis Perpisahan Goh Liu Ying anjuran BAM sempena Terbuka Malaysia 2023 hari ini, Liu Ying beraksi dalam perlawanan pertunjukan 3 lawan 3.
Antara pemain terlibat, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Chan Peng Soon, pemenang pingat emas Paralimpik Cheah Liek Hou dan pemain badminton Amerika Syarikat, Zhang Beiwen.