CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei dijangka mampu meloloskan diri  ke Olimpik Paris 2024.

Keyakinan itu disuarakan jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto, selepas melihat potensi yang ditunjukkan gandingan itu sepanjang Terbuka Malaysia 2023.

Jurulatih yang baharu bersama pemain kira-kira dua minggu itu, gembira dengan kemampuan ditonjolkan Tang Jie-Ee Wei yang dirasakan hanya memerlukan sedikit sentuhan sahaja lagi, untuk menggilap mereka setanding beregu berkelas dunia.

“Tang Jie-Ee Wei tidak perlu kerja banya, beri sedikit masa sahaja lagi kerana mereka hanya perlu sedikit sentuhan.

“Dengan kemahuan mereka serta konsintensi yang ditunjukkan, mereka akan bisa (mampu) ke Paris,” katanya.

Pada Jumaat, Tang Jie- Ee Wei kandas di suku akhir, menjadi pemain terbaik di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mara jauh dalam kejohanan ini.

Dalam aksi suku akhir di Axiata Arena, kelmarin, Tang Jie-Ee Wei tewas 19-21, 9-21 kepada gandingan nombor dua dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Di pusingan pertama, mereka mengejutkan pemain senior, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berada di ranking keenam dunia, 21-15, 21-10, sebelum menyingkirkan gandingan nombor 12 dunia dari Indonesia, Rehan Naufal-Lisa Ayu Kusumawati, 21-19, 21-16.

Bekas juara dunia dua kali dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik dari Indonesia,Nova Widianto akan melapor diri kepada Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky bermula 1 Januari 2023.

Pengalaman ternyata menjadi pemisah antara Tang Jie-Ee Wei dengan lawannya itu yang tampil selaku pilihan kedua kejohanan.

“Bagi saya, mereka boleh menandingi pemain Thailand dan saya memang jangka dia mampu mara lebih jauh.

“Kita akan terus pantau perkembangan mereka di Terbuka India dan Cabaran Antarabangsa Iran.”

Tang Jie-Ee Wei yang baru dua bulan digandingkan, kini berada di ranking ke-147 dunia.