KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) akan terus menguji kekuatan dalam aksi pramusim 2023 dengan menentang TRW Kelantan FC dalam perlawanan persahabatan pada Jumaat.
Menerusi maklumat dikeluarkan KDA FC, perlawanan itu menjadi aksi pramusim kedua buat Sang Kenari selepas segar membenam Perlis United FC (PUFC) 4-0 Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok semalam.
“Perlawanan seterusnya pra musim 2023. KDA FC menentang TRW Kelantan FC di Stadium Darul Aman,” menurut kenyataan terbabit.
Sementara itu, harga tiket mengikut kategori seperti berikut.
“RM10 untuk Teres & Pavillion manakala RM15 bagi Grandstand. Kanak-Kanak dijual pada harga RM5,” katanya.
Mengimbas kembali aksi bertemu PUFC, aura kegemilangan skuad bergelar Hijau Kuning itu kini kembali apabila hampir 3,000 penyokong setia hadir ke Stadium Mini UUM menyaksikan corak permainan yang diterapkan Nafuzi Zain.
Malah, jurulatih berusia 44 tahun itu menurunkan awang import seperti Lira, Manuel Hidalgo, Manuel Ott, Bojan Ciger termasuk Alan Robertson dan Ebenezer Assifuah yang juga pemain import Liga Simpanan.
Skuad berwajah baharu Kedah yang miliki senarai lengkap 25 pemain hanya menunggu ketibaan dua pemain Harimau Malaya, iaitu penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz dan pemain naturalisasi Lee Tuck selepas menamatkan tugasan mereka pada kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 baru-baru ini.