FOTO: KDA FC
MUSIM ini dilihat sebagai kebangkitan semula bola sepak pasukan Singa Utara apabila pasukan Kelab Bola Sepak Perlis United (PUFC) selesai memilih 25 pemain bagi mengharungi cabaran Liga Semi Pro 2023.
Menurut kenyataan dimuatnaik Facebook PUFC, kini hanya tinggi pengumuman rasmi berkaitannya dalam masa terdekat.
“Fasa terakhir sesi pemilihan pemain Liga Semi Pro musim ini. Perlawanan persahabatan menentang Kedah Darul Aman FC malam semalam (Jumaat) merupakan medan terbaik menguji pemain yang mempunyai daya saing dari segi kekuatan mental, fizikal dan kecergasan,” tulis kenyataan itu.
Pasukan yang dibimbing Azhar Abdul Rahman, 51, itu mengadakan aksi persahabatan bertemu Sang Kenari, namun tewas 4-0 dalam pertembungan di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.
Hampir 3,000 penyokong hadir menyaksikan pertemuan kedua-dua pasukan dan PUFC jelas tidak mengalah walaupun lawan membariskan hampir keseluruhan awang import.
“Walaupun pihak lawan menurunkan hampir keseluruhan pemain import namun pemain-pemain kita masih mampu melawan walau dalam masih sesi pemilihan.
“Bak kata semua coaching staff, kita nak pilih pemain yang beri 100 peratus di atas padang , jadi tahniah kepada pemain-pemain yang terpilih. Minggu depan hangpa (pemain) masuk kelas na (ya)! ,” katanya lagi.
Sebagai rekod, PUFC pernah ditawarkan menyertai M3 pada musim 2021 namun liga tersebut terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19.