PENGURUS  Manchester United, Erik ten Hag mengakui kekalahan 6-3 kepada Manchester City di Etihad Oktober lalu jelas menjadi pelajaran berguna bagi anak buahnya menghasilkan kemenangan menewaskan Manchester City 2-1 dalam aksi Liga Perdana (EPL) semalam.

Jelasnya lagi, beberapa aspek dari ketahanan mental amat diperlukan bagi seorang pemain ketika berdepan dengan beberapa situasi tegang terutama untuk mengekalkan persembahan yang baik ketika berada di dalam padang.

“Kita sering bercakap tentang pasukan, pembangunan, taktik, tetapi sesuatu yang amat penting bagi seorang jurulatih serta staf kejurulatihan adalah mengukuhkan mental kesemua pemain ketika beraksi di dalam padang.

“Satu daripadanya adalah daya tahan, kesungguhan pemain juga saya lihat telah berkembang dengan baik.

“Selain itu, berdepan dengan waktu sukar, terutama saat paling menyakitkan ketika ketinggalan dan tetap meneruskan aksi dengan mindset yang positif.

“Saya rasakan kita mempunyai ramai pemain berpengalaman yang sudah biasa berdepan dengan tekanan sebegini sebagai seorang pemain dan saya menganggap mereka lebih bijak menangani situasi tekanan selepas kekalahan memalukan di Etihad Oktober lalu,” ulas ten Hag.

United kini menghuni tangga ketiga EPL dan hanya tewas sekali ketika beraksi di Old Trafford dalam saingan liga musim ini.

Setelah kekalahan memalukan 6-3 di tangan City Oktober lalu, United berjaya menang 16 daripada 19 perlawanan dan kini hanya dipisahkan dengan 6 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.