SELEPAS 24 jam tamat perlawanan menentang Negeri Sembilan FC, masih ramai yang bercerita dengan kemenangan dramatik Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Penyokong bola sepak tempatan seakan-akan tidak pernah melihat sesebuah pasukan meraikan kemenangan menerusi jaringan minit akhir malah ada juga yang mempertikaikan kenapa JDT hanya menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan.
Perkara ini mendapat perhatian pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang nyata kecewa dengan mentaliti para penyokong tempatan yang masih tidak mahu berubah dan hanya pandai mencari kesalahan JDT.
“Ramai yang cakap kenapa celebrate macam menang final? Takkan lawan N9 satu kosong sahaja? Ini jawapan saya. Dalam sukan ini/bola sepak, setiap kejayaan kecil atau besar, semuanya bermakna.
“Tak kisah siapa pihak lawan semuanya mustahak. Itulah ‘winning mentality’ yang sebenar. Takkan apabila lawan JDT sahaja 200% dan lawan pasukan lain asal boleh. Itulah bezanya mentaliti JDT yang saya tetapkan apabila membina kelab ini.
“Inilah sebabnya kami berada di mana kami berada pada hari ini. Setiap saat berada dalam kelab ini bermakna buat kami keluarga JDT,” tulis Tunku Ismail di ruangan komen hantaran Instagram Official Johor.
Komen Tunku Ismail itu telah menerima hampir 3,000 tanda suka dan menerima lebih daripada 100 balasan komen yang membuktikan kebenaran apa yang diperkatakan olehnya.
Pada aksi Liga Super penuh dramatik itu, skuad Benjamin Mora berjaya meledak gol tunggal pada masa tambahan menerusi Fernando Forestieri selepas terikat tanpa jaringan bertemu tuan rumah dalam tempoh permainan sebenar.