PEMILIK pasukan Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini menegaskan tidak ada jalan pintas buat para pelumba negara untuk menempa nama di kejohanan dunia sebaliknya semuanya harus bermula dari bawah untuk memastikan pelumba mempunyai ilmu yang mencukupi.

Yuzy berkata demikian pada majlis pelancaran pasukan dan pengenalan pelumba Pasukan Yuzy Racing Estremo Team yang berlangsung di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara pada Sabtu.

Untuk musim 2023 ini , Yuzy mengambil keputusan mengekalkan Azroy Hakeem Anuar selaku pelumba utama pasukan bersama-sama Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dan Md Idlan Haqimi Raduan untuk kategori CP150 di Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix.

 

Dalam perkembangan sama, Yuzy Racing turut mengumumkan pasukannya akan kembali ke Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARC) dalam kategori Underbone 150cc.

Shahrol Syazras yang juga adalah anaknya sudah dipastikan tidak akan mendapat laluan mudah di dalam pasukan dan dia harus menunjukkan kemampuannya untuk bersaing sekaligus layak untuk bergelar juara.

“Untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi seseorang pelumba itu harus menjuarai kategori bawah terlebih dahulu sebelum pergi ke peringkat yang tinggi terutama di Kejohanan MotoGP.

“Saya mahu pastikan para pelumba mempunyai ilmu yang mencukupi sebelum bertanding di luar negara kerana tidak mahu mereka terkapai-kapai apabila bertanding di peringkat antarabangsa. Tiada laluan mudah perlu diberikan walaupun dia adalah anak saya sendiri kerana saya pun bermula dari bawah.

“Bila kita pergi dengan laluan mudah peluang untuk kita jatuh juga akan berlaku dengan cepat. Itu adalah asas kepada pasukan saya untuk melahirkan bakat-bakat muda negara,” kata bekas pelumba Kejuaraan Dunia kelas 250cc itu.

Dalam majlis yang sama Yuzy Racing mengumumkan kerjasama bersama syarikat minyak pelincir tempatan, Estremo sebagai penaja utama baharu untuk Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix selama tiga musim bermula 2023 hingga 2025.

Pasukan Honda Yuzy Estremo Team akan memulakan aksi pertama mereka pada pusingan pembukaan Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix 2023 yang dijadualkan berlangsung di Litar Sepang (Utara) pada 25 dan 26 Februari 2023.