KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai ingin pemain badminton negara terutamanya gandingan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M.Thinaah mengimbau nostalgia indah semasa mereka mula bermain badminton pada usia seawal enam tahun.
Jelasnya, pemain kebangsaan perlu mencari segera saat indah ketika mereka kali pertama memegang raket dan mengembalikan semangat juang yang tinggi ketika beraksi di gelanggang.
“Apa yang kita cuba untuk bekerjasama dengan pemain kita adalah untuk bertanyakan kepada mereka untuk mengingati apabila mereka mula bermain badminton pada usia enam atau tujuh tahun.
“Dia mesti gembira pada masa tersebut betul atau tidak? Di manakah kegirangan tersebut? Mereka harus mencari semula kegembiraan dan perasaan riang apabila bermain. Mereka harus mencari semula keghairahan dan kenikmatan tersebut.
“Apabila saya lihat Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly dan Thinaah main, mereka sudah tidak lagi gembira apabila bermain. Dimanakah semangat apabila anda bermain pada usia enam tahun,” jelasnya ketika sidang media mengulas rumusan prestasi skuad kebangsaan dalam kejohanan PETRONAS Malaysia Open 2023.
Menurut Michelle, untuk menjadi seorang juara seseorang pemain itu harus berkorban dengan sepenuh hati dan ‘okay’ sahaja tidak mencukupi bagi menjadi seorang pemain yang luarbiasa.
“Okay tidak mencukupi. Kalau awak nak jadi juara, perkataan yang tepat adalah berkorban. Untuk meraih emas di Paris, okay sahaja tidak mencukupi.
“Sebagai contoh, keseluruhan kehidupan Ronaldo adalah tentang bola kerana itulah yang dimahukan,” ujarnya.
Dalam aspek pemakanan, penambahbaikan akan dilakukan dengan menyediakan diet istimewa kepada barisan pemain dengan mengkaji semula nutrisi yang diberikan.
Selain itu, ketahanan dari sudut mental juga perlu dipertingkat dengan menggunakan mekanisme menguruskan tekanan dengan lebih tenang.
“Dari segi pemakanan, akan ada special diet. Dari segi mental, kita akan cuba pendekatan yang berbeza. Dari segi nutrisi dan latihan, kita akan cuba perbaiki.
“Dari segi pihak MSN, ISN, kita juga meminta mereka lebih spesifik dalam aspek pemakanan, mental coping mekanisme dan sebagainya,” kongsinya.
“Apa beza pemain yang baik dan pemain yang hebat? Semua pemain berlatih selama lapan jam. Semua pemain tidur dalam enam ke lapan jam. Apa yang pemain kita lakukan selama baki lapan jam ini akan tentukan kita adalah juara dunia atau tidak. Setiap orang harus ada tanggungjawab,” katanya.
Mengulas keputusan hambar yang dicatatkan pemain negara dalam kejohanan kali ini, Michelle menegaskan kegagalan pemain bukanlah pada keputusan tetapi lebih kepada aksi tanpa ‘jiwa’ yang ditunjukkan pemain ketika bertarung di gelanggang.
“Kekecewaan pada Terbuka Malaysia 2023 adalah bukan disebabkan keputusan tetapi pemain tidak memberikan keupayaan tahap maksimum mereka semasa berada di dalam gelanggang,” ulasnya.