PEMAIN skuasy wanita utama negara, S Sivasangari menerima cincin daripada Universiti Cornell sebagai penghargaan muncul juara Individu Kolej Nasional, Persatuan Skuasy Kolej (CSA) Amerika Syarikat, tahun lalu.
Menerusi ciapan Twitter, Sivasangari menzahirkan rasa bangganya menerima penghargaan itu.
“Honoured to be receiving the ring from Cornell for winning individual Championship last year,” kata Sivasangari di Twitternya.
Mac tahun lalu, Sivasangari merangkul kejuaraan individu pertamanya buat Universiti Cornell pada Kejohanan Skuasy Individu Kebangsaan, anjuran CSA, dengan menewaskan pemain Universiti Harvard, Hana Moataz, 3-2 pada aksi di Phiedelphia.
Pemain berusia 23 tahun itu mencapai kemenangan 11-4, 2-11, 11-9, 12-14, 11-7.
Dia yang dibimbing bekas pemain skuasy nombor satu dunia, David Palmer turut menyuarakan perasaan terujanya untuk kembali ke kejohanan kompetitif selepas berehat panjang akibat terbabit kemalangan jalan raya di Maju Expressway, Jun tahun lalu.
“Kembali semula ke gelanggang dan tampil beraksi pada perlawanan rasmi pertama saya tahun ini, sesuatu yang cukup beremosi buat saya.
“Saya teruja untuk kembali dan mahu bangkit semua musim ini,” katanya.
Pada Jun tahun lalu, pemain yang kekal menghuni tangga ke-18 dunia itu memecah masuk ke dalam kelompok 30 pemain terbaik dunia pada 2021, mara ke suku akhir Manchester Open tahun yang sama.
Tahun lalu, dia terus menyinar dengan penampilan ke separuh akhir Pil Cincinnati Gaynor sebelum ke suku akhir Fire Open di Washington DC, naib juara Terbuka Carol Weymuller dan suku akhir Kejohanan Antarabangsa El Gouna.
Malangnya selepas El Gouna, Sivasangari terbabit kemalangan dan tidak dapat meneruskan penyertaan di kejohanan berikutnya.
Kini, Sivasangari sudah kembali ke Universiti Cornell untuk menyambung semula pengajiannya dengan baki satu semester sahaja lagi, dan dijangka menerima ijazahnya pada Mei.