TIRAI Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 dilabuhkan dengan pencapaian mengecewakan barisan pemain negara pada edisi yang kini dinaiktaraf Super 1000.
Episod duka tersebut bermula dengan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menghampakan peminat badminton tanah air apabila kecundang seawal pusingan kedua kepada beregu ranking ke-6 dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dengan kekalahan straight set 10-21 21-23.
Gandingan beregu tersebut seakan-akan masih dibuai dengan gelaran dunia yang rangkulnya sebelum ini apabila sekadar menamatkan saingan di pusingan awal dalam Terbuka Perancis 2022 dan HSBC World Tour Finals 2022.
Begitu juga nasib yang sama buat gandingan beregu wanita harapan negara, Pearly Tan-M.Thinaah apabila dikejutkan seawal pusingan pertama tewas kepada beregu dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva, 19-21 14-21.
Kali terakhir mereka berjaya merangkul gelaran adalah pada Terbuka Perancis tahun lalu.
Bagaimanapun, muncul sedikit sinar di kem badminton negara apabila gandingan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya mara ke peringkat suku akhir sebelum terpaksa akur tewas kepada gandingan dari Thailand, Puavaranukroh-Terratanachai 19-21 9-21.
Meskipun, gandingan tersebut baharu sahaja digandingkan namun dapat kelihatan bibit-bibit positif dalam aksi yang dipamerkan di bawah kendalian jurulatih baharu, Nova Widianto.
Manakala bagi kategori perseorangan pula, Juara Seluruh England 2021, Lee Zii Jia gagal membutirkan sebarang perkembangan positif sejak Terbuka Malaysia edisi lalu apabila persembahannya terus merudum, tumbang di pusingan awal kejohanan terutama setelah mengumumkan ingin bergerak sendiri sebagai pemain profesional serta keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dalam pada itu, satu lagi perseorangan negara yang diletakkan harapan untuk menggantikan posisi Lee Zii Jia turut mara lebih jauh apabila sekadar menempatkan diri di pusingan kedua kejohanan sebelum tunduk kepada perseorangan ranking ke-7 dunia dari Jepun , Kodai Naraoka dalam pertarungan tiga set 21-15 19-21 15-21.
Dengan keputusan dan prestasi menggusarkan dipamerkan kem badminton negara, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus melakukan post-mortem segera memperbaiki kelemahan ketara pemain di bawah naungan badan induk persatuan itu.
Manakala bagi pemain yang sudah bergerak sebagai pemain profesional, mereka perlu mencari solusi terbaik bagi mengembalikan martabat negara Malaysia sebagai antara kuasa badminton dunia.