JIKA kebanyakan pihak menjalankan aktiviti amal berbentuk sumbangan secara kewangan namun Akademi Anak Sejati Football Club (ASFC) mengambil pendekatan sedikit berbeza berbanding kebiasaan.
Pasukan bola sepak berpangkalan di Klang itu menggunakan sukan bola sepak sebagai medium untuk beramal dan terbaharu, ASFC menjalankan klinik bola sepak di Padang Kampung Perepat, Sementa pada Ahad.
Presidennya, Mohd Faizal Wahid menjelaskan program amal klinik bola sepak itu bukan setakat aktiviti fizikal semata-mata namun mereka turut menjalankan pengisian rohani kepada semua peserta terbabit.
“Program ini mendapat sambutan yang sangat baik dan menggalakkan dan disokong baik dengan kehadiran Izrin Nabil, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
“Semoga dengan adanya klinik bola sepak ini dapat mencari bakat-bakat yang ada daripada anak-anak yang berada di sekitar Kampung Perepat dan khususnya penduduk di Dun Sementa.
“Ilmu dan pengalaman dari Kelab Bola Sepak ASFC akan dicurahkan untuk pemain akar umbi berjaya ke depan dengan jayanya dalam permainan bola sepak satu hari nanti,” katanya.
Program klinik bola sepak akar umbi ASFC ini melibatkan penglibatan peserta bawah 8 tahun (B-8), B-10, B-12, B-15 dan B-17 dengan kerjasama Afrishah Azizi dari Pejabat Penyelaras Dun Sementa dan Cabang Kapar Sejahtera, Datuk Seri Azizi Ayob.