BARCELONA dimahkotakan sebagai juara Piala Super Sepanyol selepas jaringan daripada Gavi, Robert Lewandowski dan Pedri, membawa kemenangan 3-1 ke atas musuh tradisi Real Madrid, dalam perlawanan berlangsung di Arab Saudi.

Piala ini menjadi hadiah istimewa kepada Xavi yang menjulang trofi pertamanya sebagai jurulatih kelab Catalan, yang mendominasi sepenuhnya perlawanan.

Malah mereka memperoleh tiga jaringan menerusi tiga kesilapan yang dilakukan pemain Real Madrid.

Carlo Ancelotti berkata, perlawanan ini yang kedua berturut-turut dia melihat pasukannya tidak beraksi mengikut tahap sebenar termasuk ketika menewaskan Valencia di separuh akhir.

“Kami perlu belajar dari perlawanan ini. Memang detik yang sukar kerana sebelum perlawanan lagi kami tahu bahawa pasukan ini bukan di tahap terbaik. Perlawanan ini menunjukkan beberapa isu yang perlu kami pertingkatkan. Kami akan kembali dan menggegar… untuk perlawanan seterusnya, kami akan lebih bersedia.

“Sejak perlawanan bermula, aksi seimbang sehinggalah mereka dapat menjaringkan gol pertama, meraka dapat keyakinan. Memang kami hadiahkan dua gol pertama lawan.

“Kami perlu berkerja keras mengatasi kesilapan yang dilakukan. Pada separuh akhir menentang Valencia, kami bertahan dengan baik tapi hari ini kami ulangi kesilapan,” katanya.

Kemenangan 3-1 ke atas Real Madrid bolehkan Barcelona julang Piala Super Sepanyol. – Pix Reuters

Xavi membuat kejutan apabila mengubah formasi biasa 4-3-3 untuk bermain dengan lebih tenaga di bahagian tengah, meninggalkan Lewandowski berseorangan di atas, manakala bek tengah Ronald Araujo memperkuat jentera bek kanan bagi memperlahan pergerakan pemain sayap Real, Vinicius Junior.

Pendahulu La Liga itu di depan pada minit ke-33, apabila pertahanan Real Antonio Rudiger melakukan hantaran lintang dalam kawasan sendiri, namun singgah di kaki Sergio Busquets (Barca) yang kemudian memulakan gerakan yang ditamatkan Gavi.

“Kami perkuatkan jentera tengah untuk mengawal kawasan itu, Araujo pula amat bagus dalam mengawal Vinicius dan kami pastikan mereka (Real) tiada pilihan serta tidak selesa pada perlawanan ini,” kata Busquets.

Lewandowski melebarkan pendahului pada minit ke-45 sebelum Pedri melengkapkan tiga gol Barca pada minit ke-68.

Karim Benzema menjaringkan gol saguhati buat Real pada masa tambahan.