FOTO : FB PJ City FC
SIAPA yang tidak gembira apabila anak didik yang diasuh sejak zaman persekolahan kini menjadi pemain bintang dalam arena bola sepak tanah air.
Bekas guru sekolah yang kini jurulatih Miri FA, Mohd Hakimi Man puas apabila bakat pemain khusus dari Sarawak berjaya menembusi pasaran Liga Malaysia yang sememangnya sentiasa sengit dengan kehadiran pemain muda meningkat naik saban musim.
Selain itu, beliau juga bijak mencari pemain bola sepak muda yang berbakat dengan bekas asuhannya kebanyakan telah menjadi pemain bola sepak profesional dengan mewakili beberapa pasukan di Malaysia.
Antara pemain yang pernah ‘ditemui’ oleh Hakimi adalah Gabriel Nistelrooy (JDT II), Filemon Anyie Standly (PJ City FC), Amar Muaz Bin Zamri (Sarawak United II), Alphonsos Joseph Willie, Hazroy Abdullah dan Darius Mat Donny Tinggang (Sarawak United III).
Menyentuh mengenai Filemon yang baru diumumkan sebagai pemain baharu skuad Negeri Sembilan FC musim ini, Hakimi percaya potensi pemain berusia 25 tahun untuk lebih menyinar dalam pentas liga domestik.
“Dia dulu ni main dalam permainan bola baling. Selepas itu ada pertandingan futsal kat sekolah. Pada masa itu Filemon hanya berkaki ayam semasa beraksi.
“Namun naluri saya kuat mengatakan budak ini bukan sembarangan pemain. Ada benda yang saya nampak yang orang lain tak boleh nampak.
“Awalnya dia tak nak bermain bola tetapi selepas dipujuk, lalu secara perlahan-lahan minat timbul dan mula meminati bola sepak sehingga sekarang.
“Telahan saya benar, Filemon menjadi pemain bintang dan kini mewakili Negeri Sembilan di Liga Super. Saya ucapkan selamat maju jaya buatnya,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Isnin.
Sejarah dan pengalaman Hakimi bukan biasa-biasa menyerlah apabila beliau berjaya membawa Sarawak menjuarai Piala Tun Syarifah Rodziah pada 2017.
Terbaru, beliau memimpin Miri FA memenangi Liga Bolasepak B-20 SSC-FAS Tahun 2022 akhir Disember lepas.