KELAB Liga Thailand, Ratchaburi FC hari ini memperkenalkan pemain kebangsaan Malaysia, Safawi Rasid dan pemain import dari Mali, Moussa Sidibe sebagai rekrut terbaharu skuad The Dragon.
Pengumuman ini dilakukan sendiri oleh Presiden Ratchaburi FC, Thanawat Nitikanchana dalam satu majlis sidang media yang juga disiarkan secara langsung menerusi laman sosial rasmi kelab.
Safawi yang bakal menyarung jersi nombor 11 bersama kelab yang berpangkalan di Ratchaburi, kira-kira 100 km barat dari Bangkok itu mengucapkan terima kasih dan sudah tidak sabar bersama pasukan untuk perlawanan pertama Sabtu ini.
Safawi Rasid dan Moussa Sidibe diperkenalkan sebagai pemain Ratchaburi FC hari ini.#ratchaburifc pic.twitter.com/6RnNfzaFQz
— Flash Sukan (@FlashSukan) January 17, 2023
Dia juga mempunyai sasaran peribadi bersama kelab ini dan mahukan sokongan yang penuh daripada penyokong Ratchaburi terutama apabila beraksi di Dragon Solar Park yang berkapasiti 10,000 tempat duduk itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden kelab kerana telah membawa saya ke kelab yang baik di Thailand dan saya tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan seterusnya pada Sabtu dan terima kasih juga kepada penyokong saya di Thailand dan Malaysia yang sentiasa menyokong kerjaya saya.
“Sasaran saya adalah untuk membantu kelab muncul juara Liga Thailand dan juga layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC musim hadapan dan saya akan lakukan yang terbaik serta kepada semua penyokong kelab ini, jumpa anda nanti dan buat Liga Thailand, Sawadikap,” katanya dalam sidang media itu.
Safawi juga menjawab beberapa soalan yang diajukan penyokong kelab itu dan berkata dia pernah bermain menentang Ratchaburi FC sebelum ini bersama Johor Darul Ta’zim dan sedar akan kekuatan yang ada pada kelab ini.
“Saya pernah bermain menentang Ratchaburi sebanyak dua kali di Liga Juara-Juara AFC sebelum ini bersama JDT dan saya tahu bukan mudah untuk menentang mereka dan saya juga tidak dapat menjaringkan gol keatas mereka,” tambahnya.
Turut diperkenalkan adalah Moussa Sidibe juga menerusi pinjaman daripada JDT dan Thanawat Nitikanchana mengakui kelabnya pernah mengintai pemain ini dua tahun yang lalu namun tidak diberikan kontrak tetapi kini dia tidak akan membenarkan pisang berbuah dua kali dan terus menawarkan kontrak meskipun secara pinjaman.
Selepas berehat panjang selama dua bulan, Liga Thailand bersambung dengan Ratchaburi FC bakal menentang Khon Kaen United yang bergelut di zon relegasi manakala The Dragons pula kini ditangga ketiga dengan 29 mata, ketinggalan 10 mata dibelakang pendahulu, Buriram United.