NASIB pengendali Chelsea, Graham Potter boleh dikatakan bergantung kepada keputusan perlawanan menentang Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.

Jurulatih British itu kini menjadi topik perbincangan hangat apabila kedudukannya sebagai pengendali Chelsea semakin terumbang ambing kerana tidak dapat menghasilkan keputusan yang baik.

Sejak mengambil alih Chelsea pada September 2022, rekod Potter bersama The Blues kurang memuaskan yang memperlihatkan Chelsea mengalami banyak kekalahan dalam liga.

Aksi seterusnya buat Chelsea berhadapan Liverpool di Anfield.

Nasib Potter masih terjamin kerana dilihat pemilik The Blues, Todd Boehly masih bersabar malah memberikan suntikan pemain baharu yang diperlukan Potter untuk mengubah nasib pasukan.

Potter juga dilihat bergelut dengan waktu untuk memperbaiki pasukan dengan cepat kerana Chelsea semakin menurun dan kini menghuni tangga ke-10 dengan hanya 28 mata dari 19 perlawanan.

“Ini adalah situasi yang unik kerana sepanjang saya di sini, banyak pemain yang mengalami kecederaan dan sukar buat kami untuk beraksi dengan stabil. Anda harus belajar ditambah dengan keadaan Chelsea yang kini tidak berapa bagus kerana kami perlu mengadaptasi dengan apa yang terjadi kepada kelab ini,” katanya.

Pemain-pemain baharu yang ditandatangani Chelsea ketika jendela perpindahan Januari.

Seperti diketahui, beberapa pemain utama Chelsea mengalami kecederaan dan Potter perlu melakukan perubahan pada pasukan dalam menghadapi musim yang panjang dengan jadual yang padat.

Antara pemain yang cedera adalah Reece James, Wesley Fofana, Ben Chilwell, N’golo Kante, Edouard Mendy, Ruben Loftus-Cheek, Raheem Sterling, Christian Pulisic, serta Armando Broja yang menambah kegusaran Potter.

Namun begitu lawan mereka, Liverpool juga tidak berada dalam kedudukan yang baik selepas mengalami kekalahan kepada Brighton dan hanya menduduki satu tempat di atas Chelsea di tangga kesembilan liga.

Dapatkah Potter mengekalkan kedudukannya di Stamford Bridge atau anak-anak buah Jurgen Klopp akan menambah deritanya dalam pertemuan di Anfield pada Sabtu.