SKUAD bola sepak wanita bawah (B-20) kebangsaan bakal berwajah baharu apabila seramai 43 pemain dari seluruh negara telah dipanggil oleh Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi untuk menyertai sesi percubaan dan pemilihan selama empat hari dari 17 hingga 20 Januari 2023.

Kesemua pemain ini telah mendapat perhatian Soleen menerusi jelajah FAM Regional Women’s Football Festival yang telah berlangsung di beberapa buah negeri seluruh negara.

Sesi pemilihan pemain bola sepak wanita ini dijalankan sebagai persiapan awal skuad Malayan Tigress B-20 menghadapi cabaran pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024 di Kemboja, yang dijadualkan pada Mac 2023.

 

Para pemain bukan sahaja perlu menunjukkan ketangkasan aksi dan intensiti tinggi di padang tetapi juga perlu menjalani pelbagai ujian kecergasan seperti ujian kepantasan serta ‘strength and power‘ sesuai dengan kehendak bola sepak moden.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan G bersama tuan rumah Kemboja serta Myanmar dan Pakistan dengan pasukan tempat teratas kumpulan akan layak ke pusingan kedua untuk menempuh satu lagi pusingan kelayakan.

Kejohanan Piala Asia Wanita B-20 akan diadakan di Uzbekistan dengan lapan pasukan terbaik akan bertemu untuk merebut gelaran juara.