PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag mengkritik kekurangan ‘naluri pemusnah’ barisan pemainya selepas dinafikan tiga mata menerusi sepakan percuma menarik Michael Olise pada masa kecederaan memastikan Crystal Palace berkongsi mata dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Man United mendahului menerusi jaringan Bruno Fernandes pada minit ke-43 di Selhurst Park namun Olise menyamakan kedudukan untuk keputusan seri 1-1.
Selepas menewaskan City 2-1 dalam pertemuan tetangga Manchester Sabtu lalu, United meninggalkan selatan London dengan kekecewaan untuk merakam kemenangan ke-10 berturut-turut.
Keputusan ini satu tamparan hebat buat United, yang berharap dapat memintas Manchester City di tangga kedua Liga Perdana Inggeris dan meletakkan tekanan ke atas Arsenal menjelang kunjungan ke Stadium Emirates Ahad ini.
“Apabila anda menang ketika permainan berbaki dua minit dan Palace tidak mempunyai peluang selain satu satu sepakan sudut dan satu sepakan percuma, anda tidak sepatutnya tercicir mata.
“Kami perlu melabur lebih lagi untuk mendapat gol kedua dan tidak berada dalam situasi yang membawa padah.
“Di babak kedua kami mempunyai banyak ruang untuk memastikan kemenangan, tetapi saya tidak nampak kami mencuba untuk mendapat gol kedua.
“Sukar untuk menyatakan sebabnya. Saya perlu mengkritik pasukan saya. Cari gol kedua,” usar Ten Hag.
United kini di tangga ketiga, menyamai kutipan mata City dan lapan di belakang pendahulu, Asenal kendalian Mikel Arteta.
City berpeluang mengatasi United dengan kelebihan tiga mata sekiranya mereka menewaskan Tottenham Hotspur malam ini.
United, yang kali terakhir memenangi liga pada tahun 2013, masih boleh memberi tekanan ke atas Arsenal sekiranya mereka menewaskan pendahulu itu.