TIADA jalan pintas buat Safawi Rasid mengembalikan prestasinya melainkan sentiasa turun beraksi untuk mendapatkan minit permainan terutama dalam liga yang kompetitif.

Itulah pandangan disuarakan penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli yang percaya penghijrahannya beraksi di Thailand adalah keputusan tepat.

“Sebagai pemain bolasepak profesional yang pernah disanjung tinggi sebelum ini, saya percaya ini harapan baru Safawi untuk kembali mendapatkan ‘form’nya.

“Jadi untuk dapat kembali prestasinya tiada jalan pintas untuk Safawi melainkan untuk dia sentiasa turun beraksi atau mendapatkan minit permainan terutama dalam liga yang kompetitif,” katanya kepada FlashSukan, hari ini.

Safawi diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu Ratchaburi FC yang beraksi dalam saingan Liga 1 Thai.

Dr Pekan yang juga Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi yakin tiada siapa pun pemain profesional yang bersedia berada dibangku simpanan

“Pada pandangan saya yang suka duduk di ‘bench’ sepanjang masa walaupun dibayar gaji yang lumayan kecuali pemain itu jenis yang tidak bercita-cita tinggi.

“Kita ‘respek’ dan sanjung tinggi semangat serta determinasi beliau untuk sanggup beraksi di Thailand demi mendapatkan kembali kehebatannya yang pernah kita puji-puji sebelum ini.

“Perlu beri sokongan kepada Safawi kerana dia cuma hilang sentuhan dan bukan hilang bakat dalam sukan ini,” ujarnya.

Tambah Dr Pekan, pada waktu yang sama ucapan terima kasih kepada JDT kerana melepaskan Safawi untuk dipinjamkan beraksi dalam Liga Thailand.

“Dia mungkin berdepan kesukaran merebut tempat dalam kesebelasan utama di JDT. Jadi kita tidak mempersia-sia bakat pemain ini dan lagipun dia baru berusia 25 tahun,” jelasnya.

Prestasi Safawi khususnya dałam skuad kebangsaan dilihat atak meresot dałam kempen Piała AFF 2022 selain kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT.

Selasa lalu, Safawi diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu Ratchaburi FC yang beraksi dalam saingan Liga 1 Thai.

Safawi, 25, dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Ratchaburi dengan dia sebelum ini pernah berkelana di bumi Portugal bersama kelab Portimonense SC pada 2020.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu menyertai beberapa lagi pemain Malaysia yang turut beraksi di Liga Thailand termasuk Dion Cools (Buriram United), Liridon Krasniqi (Khon Kaen United) dan Junior Eldstal (PT Prachuap).