BUAT pertama kali dalam sejarah 150 tahun, trofi Piala FA Emirates akan diterbangkan ke Malaysia pada siri Jelajah Trofi Asia Pasifik yang julung kali diadakan dari 21 hingga 29 Januari 2023.

Program tersebut akan bermula di Sydney pada 23 Januari kemudian tiba di Kuala Lumpur pada 25 Januari sebelum menuju ke Singapura pada 26 Januari dan kemudian lawatan berakhir di Seoul pada hujung minggu yang sama dengan Pusingan Keempat Piala FA Emirates pada 28-29 Januari.

Para peminat berpeluang untuk melihat sendiri salah satu piala tersohor dunia sukan dalam majlis yang akan diadakan di Central i-City, Shah Alam 25 Januari nanti.

Liverpool merupakan juara Piala FA musim lalu.

Pengarah Komersial Persatuan Bola Sepak England, Navin Singh berkata, pihaknya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Astro selaku rakan penyiaran tempatan kami, untuk membawakan trofi Piala FA Emirates ke Malaysia sebagai sebahagian daripada Jelajah Trofi Asia Pasifik – lawatan yang pertama sepertinya.

“Trofi Piala FA adalah antara yang paling disanjung tinggi dalam dunia sukan dan sejak perayaan ulang tahun ke-150 pertandingan musim lepas, minat global terhadap pertandingan ini semakin memuncak.

 “Kami berharap dengan membawa trofi ke Kuala Lumpur boleh menarik lebih ramai penonton untuk menyaksikan drama dan aksi luar biasa bola sepak Piala FA dan menunjukkan mengapa ia merupakan pertandingan kalah mati kebangsaan terhebat di dunia,” tegasnya.