KETUA Jurulatih Hoki Kebangsaan, A. Arul Selvaraj gembira dengan kemenangan kedua berturut-turut skuad Speedy Tigers di Piala Dunia dan memberikan cuti rehat sehari kepada para pemainnya sebagai terapi minda menjelang aksi ‘crossover’ pada Ahad.
Arul turut berbangga selepas Malaysia berjaya memperolehi jaringan menerusi pukulan sudut penalti selepas banyak menghabiskan masa melakukan latihan intensif disiplin itu.
Selain itu, dia memuji karektor ketua pasukan, Marhan Jalil yang mempamerkan aksi mantap dan menunjukkan kualiti sebagai pemimpin di dalam padang.
“Kami gembira dengan kemenangan kedua berturut-turut di Piala Dunia kerana kemenangan ini penting untuk meningkatkan semangat dan kepercayaan diri dan kepercayaan pasukan selain kita juga gembira dan bangga kerana berjaya menjaringkan gol dari pukulan sudut penalti selepas banyak menghabiskan masa berlatih dan akan menggunakan kelebihan ini dalam perlawanan seterusnya.
“Fokus pasukan sekarang adalah pemulihan dan saya tidak mahu mereka berfikir terlalu banyak tentang perlawanan selepas ini dan bergembira dengan kemenangan dan mendapat tempat kedua dalam kumpulan.
“Saya mahu para pemain tenangkan minda serta emosi dan diberikan rehat satu hari untuk keluar dari bilik bagi membantu mereka menenangkan diri sebelum kembali semula dalam pasukan untuk mesyuarat analisis perlawanan berikutnya.
“Pujian harus diberikan kepada aksi pasukan terutama struktur pertahanan yang diketuai oleh Marhan Jalil dan Razie Rahim serta Hafizuddin yang bekerja keras dan tidak lupa juga kepada pemain barisan hadapan yang banyak melakukan kerja tambahan seperti ‘pressing’ ketika tidak memegang bola dan itu adalah satu lagi kunci kepada kejayaan,” jelasnya.
Mengulas tentang aksi ketika menentang New Zealand, Arul nyata berpuas hati kerana pemain menunjukkan kepercayaan yang tinggi untuk mendahului dan juga selepas lawan menyamakan kedudukan untuk mencari gol kemenangan.
“Kita bermain dengan tenang dan sabar serta kepercayaan yang tinggi hingga dapat menjaringkan gol pertama dan kedua tetapi pada suku ketiga dan keempat kita bermain dengan kurang seorang pemain dan itu mengakibatkan pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan tetapi kepercayaan diri sekali lagi membuatkan kita mendapat gol yang ketiga yang juga jaringan kemenangan,” tambahnya.
Malaysia kini bakal berhadapan Sepanyol yang menduduki tempat ketiga Kumpulan D di peringkat ‘crossover’ dengan pemenang bakal bertemu juara Kumpulan A yang berkemungkinan Australia di peringkat suku akhir.