PENGGEMPUR baharu Kuala Lumpur City (KL City) FC, Herlison Caion bersedia melakar rekod jaringan baharu bersama skuad Warga Kota musim ini.

Melakar 24 gol ketika bersama Selangor FC musim lalu, penyerang kelahiran Brazil ini yakin gandingan bersama Tchetche Kipre, Paulo Josue, Patrick Reichelt dan Romel Morales mampu merealisasikan impian tersebut.

Mengakui teruja melihat kualiti bahagian serangan yang dimiliki ‘The City Boys’ penyerang berusia 33 tahun ini melihat situasi itu akan lebih banyak membantunya kerana akan memiliki lebih banyak kebebasan bergerak di dalam kotak kawasan lawan.

“Di bahagian serangan saya rasa teruja kerana di sini ada Kipre, Paulo, Morales dan seorang lagi Patrick, saya pernah beraksi bersamanya dengan Suphanburi.

Caoin dan Kipre kini menjadi penggempur utama KL City FC.

“Jadi melalui kehadiran ramai pemain sebegini, saya rasa kian bersemangat untuk membuktikan sesuatu di KL City.

“Malah saya meletakkan azam untuk menjaringkan lebih banyak gol berbanding semasa di Selangor selepas menjaringkan 24 gol pada musim lalu,” katanya.

Selepas cemerlang membantu The Red Giants mara ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 serta meraih kedudukan kelima Liga Super, Caion membuat kejutan apabila memilih untuk bersama seteru Lembah Klang, KL City FC.

Situasi itu sememangnya tidak dijangkakan sebahagian besar peminat Selangor yang pada mulanya Caion akan kekal di The Red Giants.

Namun buat Caion, itu satu pilihan yang mudah kerana memang menyimpan hasrat meneruskan karier di Liga Malaysia selain mahu bekerjasama dengan Bojan Hodak.

“Saya tahu ramai yang terkejut apabila ketahui saya datang ke sini tetapi ini bukan satu keputusan yang sukar sebenarnya apabila tawaran dari KL City datang.

“Bukan sahaja saya, isteri saya juga sangat selesa tinggal di Lembah Klang dan itu membuatkan saya terus menerima peluang bersama KL City.

“Dalam masa sama, saya tidak sabar bekerjasama dengan Bojan, salah seorang jurulatih yang berpengalaman dan harap saya boleh mengikuti taktikal yang direncanakan oleh beliau,” katanya.