KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe yakin kehadiran Faisal Halim dan Ruventhiran Vengadesan bakal memberi tonik terbaik dalam skuad Selangor FC menjelang aksi Liga Super yang bakal bermula 24 Februari ini.
“Kita nampak dari segi latihan mereka cukup komited. Sebagai jurulatih, saya yakin kehadiran Mickey (Faisal) dengan Ruventhiran memang memberi kita impak kepada pasukan Selangor FC,” jelasnya pada sidang media pasukan pada Jumaat.
Kedua-dua pemain itu antara muka baharu yang bakal perkuatkan skuad Selangor FC musim ini, dan apa yang menarik Faisal dan Ruven antara tonggak penting skuad Harimau Malaya pada aksi Piala AFF baru-baru ini.
Faisal,25, merupakan bekas pemain tengah Terengganu FC musim lalu, antara pemain lincah yang sentiasa memberi masalah kepada pasukan lawan, manakala Ruven adalah pemain muda berusia 21 tahun yang beraksi bersama Petaling Jaya City FC sebelum ini.
Selain itu, Cheng Hoe turut memberi komen mengenai khidmat Ifedayo Olesegun dalam skuad Gergasi Merah.
“Segala perancangan untuk membawa pemain import, sudah tentu kita ada perbincangan dari segi pengurusan dari segi kita perlu atau tidak khidmat Ifedayo. Kita juga masih lagi memerhati dua atau tiga lagi penyerang untuk mengisi kekosongan pasukan Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Cheng Hoe kini turut memberi perkembangan terkini Ahmad Khuzaimi Piee yang berdepan kecederaan yang dialami ketika aksi Piala AFF sebelum ini.
“Cuma Jimmy belum pulih daripada kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan dan khabar baik dari pegawai perubatan mengatakan Jimmy bersedia untuk latihan,” ujarnya.