PELUMBA baharu Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Aiman Cahyadi menyifatkan penyertaannya dalam pasukan nombor satu Asia itu sebagai impian yang menjadi kenyataan.

Menurut Aiman, 30, dia telah memasang cita-cita menyarung jersi TSG sejak usia remaja dan mengikuti perkembangan pasukan itu di awal penubuhannya pada 2011.

“Saya bersyukur diberi peluang untuk membarisi TSG musim ini kerana bukan mudah untuk pelumba ditawarkan tempat. Jadi saya harap dapat membalas kepercayaan mereka.

“TSG juga adalah pasukan impian saya sejak mula berkayuh. Ketika usia 14 tahun, saya banyak melihat aksi pasangan adik beradik, Harrif dan Zamri Saleh, saya sangat kagum.

“Namun saya tidak boleh dibuai rasa selesa sebaliknya perlu fokus meningkatkan prestasi dan membantu TSG mengekalkan kedudukan selaku pasukan nombor satu Asia.

“Secara peribadi saya mahu mengutip sebanyak mungkin kutipan mata dalam siri perlumbaan disertai tahun ini,” katanya yang pernah beraksi untuk Sapura pada 2018.

Aiman yang juga juara kebangsaan Indonesia merupakan antara dua pelumba import baharu TSG musim ini selain pakar mendaki Australia, Jesse Ewart dan tiga lagi pelumba muda tempatan.

Skuad TSG kini menjalani kem latihan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur sebelum dua pasukan dihantar menyertai kejohanan bertaraf 2.2 dan 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Antaranya Jelajah Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bermula 27 sehingga 31 Januari dan Jelajah Saudi di Arab Saudi pada 30 Januari sehingga 3 Februari.