PASANGAN beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pentas akhir Terbuka India.
Aaron-Wooi Yik berjaya memadamkan rekod cemerlang gandingan beregu No.1 dunia dari Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian dengan kemenangan rubber set 11-21 21-15 21-16 pada aksi separuh akhir Sabtu malam.
Set pertama, juara dunia itu seakan-akan masih trauma dengan kekalahan mereka kepada gandingan Indonesia itu pada Malaysia Masters 2022 apabila kerap melakukan kesilapan mudah sekaligus tewas 11-21.
Pada set kedua, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali bangkit dengan menukar corak bertahan kepada menyerang dan ianya berjaya membuahkan hasil dengan kemenangan 21-15.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu enggan menoleh ke belakang dengan mempamerkan variasi dan mengekalkan prinsip menyerang sekaligus berjaya menjadi satu-satunya wakil negara ke pentas akhir Terbuka India pada Ahad.
Aaron dan Wooi Yik bakal berdepan dengan pasangan di ranking ke-17 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau pasangan ranking ke-18 dunia dari Korea Selatan, Kang Minhyuk-Seo Seungjae.