ARSENAL mengukuhkan kedudukan ditangga teratas selepas membenam cabaran Manchester United, 3-2 pada aksi di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Eddie Nketiah menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 untuk skuad kendalian Mikel Arteta kembali mendahului lima mata di puncak liga.
Sebelum itu, Nketiah juga berjaya memadamkan kelebihan jaringan pembukaan Marcus Rashford minit ke-17 untuk pelawat, sebelum penyerang England, Bukayo Saka meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-53.
Pelawat kemudian menyamakan kedudukan apabila pertahanan Argentina, Lisandro Martinez menanduk masuk bola pada minit ke-59.
“Ia sangat baik. Terutama di babak kedua, persembahan pasukan amat menakjubkan. Kami begitu tenang dan bersemangat. Kami tidak pernah panik.
“Kami sentiasa percaya yang kami mampu memenanginya. Kami mempunyai banyak peluang cuma bola tidak mahu masuk, tetapi pada akhirnya ia masuk juga,” tegas Arteta.
Arsenal kini mengukuhkan keyakinan di Emirates yang mereka mampu bertahan di puncak liga untuk meraih gelaran Liga Perdana Inggeris, yang kali terakir dimenangi pada tahun 2004.
Mereka kini mengumpul 50 mata selepas 19 perlawanan, dan bermain kurang satu perlawanan berbanding City yang menghuni tangga kedua.
United, di tangga keempat, mengalami kekalahan pertama dalam semua pertandingan sejak awal November tetapi pengendalinya, Erik ten Hag tidak berpuas hati dengan corak pertahanan pasukannya.
Sementara itu juara bertahan, Manchester City yang turun beraksi lebih awal berjaya merapatkan jurang kepada hanya dua mata selepas kemenangan 3-0 ke atas Wolves.