MESKIPUN hanya menang satu perlawanan di peringkat kumpulan, New Zealand melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2023 dengan penuh bangga selepas membenam cabaran pasukan tuan rumah, India pada aksi cross over, memburu slot ke pusingan kalah mati.

Selepas terikat 3-3 dalam tempoh sebenar perlawanan, New Zealand memanfaatkan peluang sama rata apabila mencapai kemenangan 5-4 menerusi penalti shoot out.

Pemain New Zealand meraikan kemenangan ke atas India menerusi penalti shoot out-Pix Indianexpress.com

India yang berada di ranking keenam dunia mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar membenarkan Black Stick Men bangkit biarpun mereka mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Jaringan India disumbang Lalit Upadhyay (minit ke-17), Sukhjeet Singh (24’) dan Varun Kumar (40’), manakala jaringan New Zealand oleh Sam Lane (28’), dan dua pukulan sudut penalti Kane Russell (43’), Sean Findlay (49’).

Penalti shoot out terakhir India diambil Shamsher Singh gagal disempurnakan, sekali gus memberi kemenangan kepada New Zealand 5-4. -FIH/World Sports Pic

Sememangnya agak mengecewakan format yang diperkenalkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) ini kerana tidak adil kepada pasukan yang beraksi cemerlang di peringkat kumpulan.

New Zeland hanya mencapai satu kemenangan dan dua kekalahan, berbanding Malaysia meraih dua kemenangan dan satu kekalahan dalam kumpulan C.

Berbangga… pemain New Zealand menunjukkan thumbs up selepas menyingkir India dari perebutan gelaran Piala Dunia 2023. -FIH/World Sports Pic

Hal sama juga dihadapi India yang meraih dua kemenangan dan satu seri dalam aksi kumpulan D, berkongsi mata dengan England yang sudah sah ke suku akhir, manakala Sepanyol, hanya mencapai satu kemenangan dan dua kekalahan.

Ironinya, New Zealand dan Sepanyol kini berbanga dapat beraksi di suku akhir dan berpeluang mara lebih jauh dalam Piala Dunia 2023.