PERMULAAN kurang baik skuad sepak takraw lelaki negara apabila seperti diramal akur tewas 0-3 kepada kehebatan Thailand dalam acara berpasukan di Dewan Sukan Daerah Hoang Mai pada Jumaat.
Regu pertama, gandingan Zarif Marican Ibrahim Marican, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifuddin Razali kalah 4-21, 19-21 ketika berdepan trio, Phutawan Sopa, Pattarapong Yupadee dan Sittipong Khamcan.
Regu kedua juga gagal memberikan kemenangan apabila Muhammad Faisal Mohd Fuad, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Norizat Nordin tumpas 16-21, 11-21 kepada Porchai Kaokaew, Yotsawat Uthaijaronsri dan Pornthep Tinbangbon.
Perubahan taktikal menurunkan tekong di regu ketiga juga tidak berhasil kerana turut kalah kepada gandingan Jirasak Pakbuangoen, Rachan Viphan dan Kritsanapong Nontakote (Wichan Temkort) 9-21, 7-21.
“Fokus kita sekarang meraih pingat perak. Saya berharap pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik menentang Kemboja dan seterusnya berdepan Vietnam dalam aksi penting bagi meraih pingat perak,” kata jurulatihnya, Abdul Talib Ahmad.
Sementara itu, keputusan positif dilakar sepak takraw wanita yang memulakan langkah kanan menumpas regu Laos, 2-1.
Regu pertama menang 21-11, 21-15. Bagaimanapun rentak itu gagal diteruskan regu kedua yang tewas 11-21, 15-21.
Kemenangan kembali berpihak kepada regu terakhir Malaysia yang mencatat 21-14, 14-21, 21-12.