KETIADAAN Ng Tze Yong dalam senarai ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia tidak perlu terus dipersoalkan kerana barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai perancangan khas buat pemain itu.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Choong Hann berkata, ketiadaan nama Tze Yong bukan disebabkan fokus kepada saingan Seluruh England dan Terbuka Switzerland, sebaliknya pemain itu perlu melengkapkan program persiapan fizikal yang kini memasuki fasa akhir.

“Memang sudah dalam perancangan awal bahawa Tze Yong tidak akan bermain dalam semua kejohanan sebelum kutipan mata Olimpik bermula pada Mei depan. Dia sekarang masih dalam program jangka panjang iaitu mempersiapkan fizikal dia dan berada dalam blok terakhir dan kita perlu siapkan sebelum Mei,” kata Choong Hann.

Ng Tze Yong mula menjalani latihan dan perapian fizikal selepas Sukan Komanwel tahun lalu.

Tambah beliau, kejohanan-kejohanan sepanjang awal tahun ini, disertai Tze Yong bertujuan meraih pengalaman menentang lawan-lawan yang berada di ranking lebih tinggi.

“Dalam usaha memburu matlamat, kita tidak mahu abaikan tahap fizikal dan kita juga menjaga risiko kecederaan, kita tidak mahu Tze Yong mengalami kecederaan hingga menjejaskan peluang meraih mata kelayakan Olimpik.

“Tze Yong dalam fasa peningkatan, sememangnya dia memerlukan pengalaman sehingga akhir tahun dan sepanjang tahun ini dia perlu hadapi 18 kejohanan, itu sudah mencukupi. Jangan risau dia tak pergi satu kejohanan ini akan mengurangkan peluangnya.

“Ketika ini, dia memang masih ketinggalan berbanding pemain Top Ten dan kita nak kurangkan jurang itu, jadi fizikalnya perlu diperkukuh dahulu,” katanya.

Leong Jun Hao berpeluang membuktikan kemampuan diri di Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Dubai, bulan depan.

Tze Yong ketika ini sedang bersaing di Indonesia Masters dan mara ke pusingan kedua, berdepan pemain India Lakshya Sen hari ini.

Choong Hann berkata, ketiadaan nama Tze Yong dalam Kejohanan Berpasukan Campuran ayang akan berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 14-19 Februari depan, memberi ruang buat Leong Jun Hao.

“Jun Hao juga pemain yang baik dan tahun lalu muncul juara di Malang, Indonesia Masters Oktober tahun lalu itu perlukan lebih pendedahan kerana berdasarkan rankingnya, dia belum layak beraksi di kejohanan berstatus Super500, 750 dan 1000,” kata Choong Hann.

Berdasarkan kemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Jun Hao kini berada di ranking ke-65 dunia, manakala Tze Yong, 28 dunia.

Artikel Berkaitan:

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia : Zii Jia ketuai cabaran, Tze Yong tidak tersenarai