KEMBOJA mencipta sejarah tersendiri apabila bakal mempertandingkan 40 jenis sukan termasuk seni mempertahankan diri kebangsaan tuan rumah iaitu Kun Bokator pada Sukan SEA Ke-32 di Kemboja tahun depan.
Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dalam kenyataan pada Ahad, memaklumkan jumlah itu adalah tertinggi disahkan untuk mana-mana negara yang menganjurkan temasya tersebut buat kali pertama sejak 1977.
Penambahan jenis sukan pada edisi di Kemboja mungkin berlaku sekiranya permintaan pencak silat diterima oleh mesyuarat Majlis SEAGF yang akan diadakan pada Jun depan.
Dua sukan teras iaitu olahraga dan akuatik mengetuai senarai sukan yang sah dipertandingkan pada Sukan SEA Kemboja 2023, manakala polo air kembali dipertandingkan selepas ianya digugurkan di temasya Hanoi, Vietnam Mei ini.
Sebanyak 28 jenis sukan di bawah kategori II, menyaksikan gabungan acara Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Tradisional.
Di bawah kategori III pula, menyaksikan sukan popular e-sukan, diikuti jet ski disenaraikan sama seperti sukan mempertahankan diri, Kun Bokator manakala seni bela diri Korea akan membuat kemunculan pertama di temasya itu.
Beberapa sukan termasuk kriket, ekuestrian, pencak silat dan lari berhalangan tidak disenaraikan dan akan diputuskan pada mesyuarat akan datang.
Untuk rekod, Brunei, Vietnam dan Laos menyenaraikan masing-masing 21, 32 dan 29 sukan pada kali pertama mereka menganjurkan temasya dwitahunan itu.
Senarai sukan yang dipertandingkan:
Kategori I: Olahraga (Trek dan Lapangan, Marathon); Akuatik (Renang, Terjun, polo air)
Kategori II: Badminton; Bola keranjang (5×5, 3×3); tinju; billiards; berbasikal (lebuhraya dan MTB); kanu dan mendayung (termasuk perlumbaan bot tradisional); catur (Ok Chaktrong, Asean dan Xiangxi); sukan tarian; lawan pedang; bola sepak; golf; gimnastik (erobik dan artistik); hoki (termasuk dalam dewan); judo; karate; muay; petanque; pelayaran; sepak takraw (temasuk chinlone); tenis; ping pong; taekwondo; triathlon; bola baling; wrestling; angkat berat; wushu
Kategori III: Arnis; bina badan; e-sukan;floorball; jiujitsu; jetski; kick boxing; kun bokator; vovinam dan seni mempertahankan diri Korea.