LANDSKAP bola sepak malaysia bakal menyaksikan perubahan terbaharu dalam penggunaan teknologi apabila sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) akan digunakan pada aksi akhir Piala Malaysia yang dijadualkan pada 9 Disember 2023.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam (gambar) ketika sidang media Taklimat Kalendar Liga Malaysia 2023 di Kelana Jaya pada Khamis.

“Perbincangan lanjut dengan pembekal VAR kini sudah bermula latihan untuk pengadil juga sudah dimulakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memastikan Liga Malaysia dapat melaksanakan VAR.

“Latihan pengadil memerlukan masa selama enam hingga tujuh bulan dan atas sebab ini, MFL dan FAM cuba untuk melaksanakan sistem ini di peringkat terakhir musim. Pelbagai perkara perlu dilakukan seperti memperbaiki infrastruktur terutama rangkaian internet dan ketersediaan stadium.

“Perlaksanaan VAR ini sangat mahal dan MFL mahu memastikan sistem ini digunakan untuk jangka masa yang panjang dan bersedia sepenuhnya untuk musim 2024,” jelasnya.

Semnetara itu, MFL turut memberitahu bahawa pertandingan Piala Sumbangsih bakal dikembalikan ke format asal dengan ianya dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super dengan pemenang bakal mendapat tiga mata dan memenangi piala.

 

Ini dilakukan kerana perubahan pada kalendar yang akan memberikan MFL lebih masa selama seminggu jika dibandingkan dengan pengasingan kejohanan yang dilakukan musim lalu.

Piala Sumbangsih 2023 akan menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim dan naib juara, Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari 2023.

Selain itu, untuk musim 2023 ini, MFL juga memperkenalkan tiga waktu sepak mula dengan perlawanan hujung minggu bakal menyaksikan waktu sepak mula pada sebelah petang.

Jadual sepak mula baharu musim 2023

MFL juga berharap agar para penyokong dan pasukan menerima perubahan ini dengan positif kerana beberapa perubahan harus dilakukan MFL selaras perubahan kalendar Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) yang kini bermula dari Ogos 2023 hingga Mei 2024 berbanding sebelum ini dari Februari hingga November.

Waktu sepak mula baharu yang diperkenalkan adalah jam 5.15 atau 5.30 petang bagi Semenanjung Malaysia dan 4.30 atau 4.45 petang bagi Sabah dan Sarawak manakala sepak mula pada sebelah malam dikekalkan pada jam 8.15 dan 9.00 malam bagi Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak pada jam 7.30 dan 8.15 malam.

Liga Super 2023 akan menyaksikan 14 pasukan berentap merebut kejuaraan dengan 182 perlawanan dijadualkan bermula 24 Februari 2023 hingga 17 Disember 2023.