HARAPAN skuad hoki kebangsaan untuk meraih kedudukan lebih baik di Kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 di Rourkela, India tidak kesampaian apabila tewas di tangan Afrika Selatan 6-3 dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12.

Malaysia mempamerkan aksi mantap pada peringkat kumpulan dengan menewaskan pasukan Chile dan New Zealand dan juga semasa peringkat ‘crossover’ menentang Sepanyol sebelum tewas menerusi penentuan penalti selepas seri 2-2 pada masa sebenar.

Namun begitu, Speedy Tigers seolah-olah hilang arah dalam perlawanan ini dengan tidak mempamerkan permainan sebenar dan membenarkan Afrika Selatan mudah merobek barisan pertahanan dengan jaringan gol yang boleh dikatakan mudah.

 

Malaysia yang cuba meraih tempat kesembilan pada kempen kali ini ketinggalan 3-0 pada babak pertama dengan langsung tidak memperolehi pukulan sudut penalti menggambarkan aksi tidak menjadi pasukan kendalian A. Arul Selvaraj.

Skuad kebangsaan cuba bangkit pada suku ketiga apabila berjaya merapatkan kedudukan kepada 3-1 menerusi jaringan Razie Rahim tetapi dua kesilapan mudah memberikan Afrika Selatan kembali selesa dengan kedudukan 5-1 sebelum Razie menyempurnakan penalti stroke untuk kedudukan 5-2.

Malaysia mengasak pada suku keempat tetapi sekali lagi dihukum dengan kelemahan benteng untuk gol keenam Afrika Selatan sebelum Firhan Ashaari memberikan satu lagi gol tambahan buat skuad negara untuk kedudukan akhir 6-3 berpihak kepada Afrika Selatan.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia kini hanya akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-13 hingga ke-16 menentang sama ada tuan rumah, India atau Jepun pada 28 Januari 2023.

Sebagai rekod, Malaysia menduduki tangga ke-12 dari 12 pasukan pada Piala Dunia 2014 dan tangga ke-15 dari 16 pasukan pada di Piala Dunia 2018 dan kini berpeluang memperbaiki kedudukan.