PIALA Cabaran yang pernah diadakan pada tahun 2018 dan 2019 sebelum dihentikan ekoran penularan pandemik Covid-19 dihidupkan semula oleh Malaysia Football League (MFL) untuk menawarkan lebih perlawanan kompetitif kepada pasukan yang bertanding.
Perkara ini diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam ketika sesi Taklimat Kalendar Liga Malaysia 2023 yang diadakan di Kelana Jaya pada Khamis.
Piala Cabaran MFL dijadualkan berlangsung dari 18 September 2023 hingga 6 Disember 2023 dengan penglibatan lapan pasukan yang tidak layak ke perlawanan suku akhir Piala Malaysia dengan format pertandingan akan bermula di peringkat suku akhir secara timbal balik sebelum peringkat separuh akhir yang juga dijalankan secara timbal balik.
Tambah menarik, untuk menambah kerancakan dan debaran pertandingan ini, perlawanan akhir juga akan diadakan secara timbal balik di venue finalis yang terlibat.
Menjawab persoalan mengapa Piala Cabaran ini diadakan selari dengan pertandingan Piala Malaysia dan diantara kempen Liga Super dan Piala MFL, Stuart menjelaskan ini dilakukan bagi memastikan setiap pasukan akan bermain dalam kalendar penuh dan mengelak kempen Liga Malaysia mereka berakhir lebih awal.
“Antara kelemahan yang kita lihat sebelum ini adalah ada pasukan yang mempunyai kontrak pemain sehingga November tetapi tidak dapat bermain sepenuh musim kerana telah tersingkir awal dari saingan yang disertai.
“Untuk memastikan kalendar penuh setiap pasukan, kalendar akan berakhir pada Disember dengan Piala Malaysia dan Piala Cabaran akan bermula di pertengahan musim dan ini semua adalah impak daripada perubahan kalendar yang telah dilakukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” jelasnya dalam sidang media.
Untuk musim 2023, AFC telah mengubah kalendarnya dari Ogos ke Mei tidak seperti kebiasaannya pada Februari hingga November yang memaksa MFL mengubah beberapa perkara demi memastikan liga tempatan dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Sebagai rekod, Terengganu FC II muncul juara sulung Piala Cabaran pada 2018 diikuti satu lagi kelab pembangunan, Johor Darul Ta’zim II yang menjuarai piala ini pada 2019 dengan kedua-dua pasukan menewaskan UKM FC di pentas final.