SABAH FC berjaya layak ke suku akhir Piala FA walaupun terpaksa menempuh masa tambahan untuk mengenepikan cabaran Kelantan United 2-1 dalam aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Aksi rancak ditunjukkan kedua-dua pasukan sejak dari awal permainan dan Kelantan United hampir mendahului pada minit ketujuh tetapi Amidu Salifu gagal menyudahkan situasi satu lawan satu selepas sepakannya tersasar walaupun Damien Lim sudah tertewas.
Skuad kendalian Syamsul Saad dilihat berani melancarkan serangan demi serangan ke gawang Sabah tetapi gagal menghasilkan jaringan hasil penyudah yang kurang tajam.
Akhirnya Sabah yang berjaya di hadapan pada minit ke-40 menerusi jaringan Taiki Kagayama yang menyambung bola muntah rembatan awal Stuart Wilkin yang gagal dihalang Fikri Che Soh.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dengan Kelantan United dilihat lebih bernafsu untuk mencari gol penyamaan.
Akhirnya mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi jaringan hebat pemain importnya, Jacob Njoku yang merembat dari luar kotak penalti Sabah.
Tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan dan akhirnya perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan untuk menentukan pemenang.
Bintang Indonesia, Saddil Ramdhani menggegar Stadium Likas selepas berjaya meledak jaringan cantik dari jarak hampir 40 meter pada minit ke-111 untuk gol kemenangan Sabah.
“Kita tahu ini bukanlah jalan mudah. Pasukan Kelantan United bermain mati-matian walaupun tiada tekanan.
“Pemain-pemain saya mendapat banyak peluang dan akhirnya berjaya mendapatkan gol kemenangan,” ujar pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee selepas perlawanan.
Sementara itu, Syamsul mengakui keputusan ini agak mengecewakan memandangkan corak permainan terbaik yang pernah ditunjukkan oleh pemain-pemainnya.
“Mereka bermain bersungguh-sungguh dan mencipta banyak peluang tetapi kami gagal menyudahkannya,”ujarnya.
Kemenangan ini melayakkan Sabah FC ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 7 dan 8 Julai nanti.