TIDAK mungkin hanya seorang yang mahu berpisah, dan hasrat untuk membawa haluan masing-masing itu berpunca dari kedua-dua pihak.

Demikian menurut bekas pemain badminton kebangsaan, Mohd Zakry Latif mengenai isu yang sedang hangat membabitkan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani.

Zakry berkata, dia sendiri pernah melaluinya ketika berpasangan dengan Gan Teik Chai dan menganggap pengalaman itu lumrah sebagai pemain beregu.

Zakry pernah menghadapi situasi yang kini dialami Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani.

Jelasnya, sebagai pemain beregu, persefahaman antara pemain bersama pasangan mereka sangat penting bagi membentuk kombinasi yang mantap dan mendapatkan keserasian yang terbaik.

“Saya pernah ada sedikit sebanyak rasa begitu tapi belum sampai rasa nak berpisah. Waktu itu saya dengan Gan Teik Chai yang mana kami berjaya masuk final All England 2006.

“Main beregu ini umpama pasangan kekasih. Bila saya tengok temuramah Izzuddin semalam bila dia kata kalau dia sudah tiada perasaan ketika kalah, bagi saya mereka sudah tidak ada persefahaman.

Gandingan Mohd Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari, menghadirkan cabaran sengit di pentas badminton antarabangsa.

“Kalau main beregu kena satu hati dan jika perasaan itu tidak ada, ia agak susah untuk bina keserasian. Jadi ia akan sedikit sebanyak mengganggu momentum dan prestasi mereka,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, pasangan yang berada di ranking ke-11 dunia meluahkan hasrat untuk berpisah selepas tujuh tahun bergandingan bersama.

Keputusan dua pemain itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Rexy berkata, kedua-dua pemain itu mahukan yang terbaik buat diri masing-masing selepas gandingan mereka semakin tidak menjadi.

Selepas berpisah dengan Zakry, Gan Teik Chai (kanan) bertindak sebagai pemain profesional pernah bergandingan dengan Ong Soon Hock (kiri) dan juga Tan Bin Shen, kini jurulatih beregu negara.

Dalam pada itu Zakry percaya apa yang berlaku kepada Izzuddin-Sze Fei pasti akan ada hikmahnya seperti ketika dia bergandingan bersama Fairuzizuan Tazari.

“Saya percaya Rexy ada ramuan yang tersendiri untuk mencipta gandingan mantap sama seperti dia gandingkan saya dengan Fairuzizuan.

“Dia (Rexy) ada satu kelebihan yang mana boleh tengok pasangan itu serasi ke tidak. Alhamdulillah bila saya berpasangan dengan Fairuzizuan ada result dan aksi kami konsisten,” ujarnya.

Untuk rekod, ketika Zakry digandingkan bersama Fairuzizuan pada 2007, pasangan itu berjaya meraih beberapa gelaran antaranya Terbuka Singapura, Indonesia 2008; Terbuka India 2010, serta Terbuka Taiwan 2011.