LA LIGA telah menolak permintaan Barcelona untuk mendaftarkan Gavi sebagai pemain pasukan utama dengan kontrak baharu yang dipertingkatkan.

Pemain tengah berusia 18 tahun itu, bersetuju dengan syarat pada September lalu mengenai perjanjian baharu untuk mengekalkannya di Camp Nou sehingga 2026, termasuk klausa pelepasan 1 bilion pound (RM5.2 billion).

Barca memfailkan kertas kerja bersama permohonan dan berharap dapat mendaftarkan Gavi secara rasmi dengan skuad pasukan utama sebelum berakhirnya jendela perpindahan Januari minggu depan.

Sehingga kini walaupun bermain untuk pasukan pertama sejak 2021 pemain antarabangsa Sepanyol itu secara teknikalnya kekal sebagai pemain pasukan remaja.

Gavi kini dilihat bintang yang bakal menyinar.

Difahamkan La Liga telah menolak permintaan Barca, kerana kelab itu tidak mempunyai ruang untuk mendaftarkan Gavi dalam had perbelanjaan skuad mereka.

Keputusan itu sepatutnya tidak mengejutkan kerana kelab itu sedar mereka mempunyai sedikit atau tiada ruang untuk bergerak.

Barca berharap pemergian pemain pertahanan Gerard Pique yang bersara pada November dan penyerang Memphis Depay, yang telah menyertai Atletico Madrid, akan memberi ruang yang cukup tetapi LaLiga berpendapat tindakan lanjut diperlukan.

Selain Gavi, kontrak Ronald Araujo dipersetujui pada April 2022 juga masih belum didaftarkan dengan LaLiga.

Had perbelanjaan Barcelona telah dikurangkan secara drastik oleh tekanan kewangan kelab dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kelab itu menjual beberapa siri aset tahun lepas 25 peratus daripada hak televisyen domestik mereka untuk 25 tahun akan datang dan 49 peratus kepentingan dalam Barca Studios dalam usaha untuk memperbaiki keadaan dan mendaftarkan pembelian musim panas mereka.

Itu menyaksikan had perbelanjaan mereka meningkat hampir 800 juta pound (RM4.2 billion), tetapi memandangkan skala masalahnya, ia tetap ketat.

Gavi telah menjadi pemain utama untuk Barcelona dan Sepanyol sejak dua tahun lalu menyaksikan  17 penampilan liga untuk Barca musim ini, memenangi anugerah Golden Boy 2022 untuk pemain terbaik Eropah di bawah umur 21 tahun.