SABAH FC melangkah lebih serius musim 2023 ini dengan menambah baik pasukan apabila mengumumkan kemasukan pemain antarabangsa baharu dari Brazil.

Bekas pemain Tokyo Verdy, Jailton Paraiba diumumkan sebagai tonggak baharu skuad badak yang kini bukan sahaja beraksi di Liga Malaysia tetapi turut membawa cabaran negara ke Piala AFC musim 2023/24.

Pemain berusia 32 tahun itu kini menyertai tiga lagi pemain import baharu, Gabriel Peres, Telmo Casteniera dan Njoku Jacob selain dua pemain import sedia ada yang dikekalkan, Saddil Ramdhani dan Park Tae-su.

 

Sabah yang kini dalam rangka perlawanan pra musim di Thailand pastinya akan menguji Paraiba bagi memastikan dia dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukannya selain selesa dengan taktikal yang bakal digunakan oleh pengendali, Datuk Ong Kim Swee.

Skuad Badak mengakhiri musim 2022 dengan cemerlang apabila menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga selain berjaya layak sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Jailton mempunyai rekod yang baik ketika menyertai kelab Liga Super China, Dalian Transcendence pada musim 2016 dan 2017 apabila berjaya menjaringkan 15 gol dalam 38 penampilan.

Dia kemudiannya berhijrah ke kelab Turki Gencenbirligi untuk dua musim dengan melakukan 45 penampilan dengan enam gol sebelum dipancing untuk beraksi bersama Tokyo Verdy dari 2019 hingga 2022.

Pastinya kehadiran Jailton ke negeri di bawah bayu itu akan membuatkan para penyokong Sabah FC teruja dan dapat menyelesaikan masalah penyerang yang pernah dihadapi sebelum ini.