PROGRAM Podium bagi acara berbasikal trek kini menerima pertambahan seorang ahli apabila atlet pelapis berbasikal wanita, Nurul Aliana Syafika Azizan diangkat ke program itu sekali gus melengkapkan tujuh senarai nama bagi program utama 2023 yang turut disertai jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.
Kemasukan Nurul Aliana dari Pulau Pinang itu secara tidak langsung melengkapkan kayuhan ‘marka utagha’ yang sebelum ini hanya disertai dua wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (Kedah) dan Anis Amira Rosidi (Perlis).
Tiga lagi atlet trek dalam program itu adalah Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom.
Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya gembira apabila berjaya memasukkan Nurul Alianya ke dalam Program Podium.
“Untuk 2023, 50 pelumba berada dalam program termasuk Program Podium, Pelapis Kebangsaan dan wanita. Jadi saya rasa, ini adalah satu pasukan yang besar dan gembira dengan sokongan utama diberikan MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) untuk membantu atlet baharu.
“Saya rasa kita berada di landasan yang tepat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Azizulhasni dan Shah Firdaus menjadi dua atlet yang berada dalam senarai utama ke Olimpik Paris 2024.
“Ada tujuh atlet dalam Program Podium yang diluluskan untuk tahun 2023. Namun setakat ini, atlet utama adalah Datuk Azizul dan Shah Firdaus. Kita ada (atlet) lain dalam Program Podium tetapi untuk Road to Paris, dua nama ini sahaja,” kata Amarjit.
Dalam pada itu, Amarjit berkata, 10 atlet dijadual menyertai siri kejohanan Nations Cup di Jakarta, Indonesia yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dari 23 hingga 26 Februari ini.
Katanya, Azizulhasni akan pulang ke tanahair pada hujung bulan ini dan menjalani latihan bersama rakan seperjuangan yang lain di Velodrom Nilai sehingga pertengahan Februari.
Selepas saingan di Jakarta, skuad trek negara juga dijadual menyertai siri Nations Cup di Cairo, Mesir dari 14 hingga 17 Mac.