ARYNA Sabalenka menyifatkan kemenangan Terbuka Australia sebagai ‘hari terbaik dalam hidupnya’ dan mengakui kemenangan itu menjadi lebih manis dengan sejarah kebangkitan dipamerkan.

Pemain Belarus itu merangkul gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Elena Rybakina 4-6 6-3 6-4 dalam perlawanan akhir mendebarkan di Arena Rod Laver pada malam Sabtu.

Pemain nombor lima dunia itu berdepan dengan emosi di gelanggang dan mengakui bergelut untuk kembali mempamerkan aksi sebenar.

Aryna yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, kemudian berlari mendapatkan pasukannya untuk meraikan kejayaan itu.

Meraikan detik kegembiraan pada sidang media selepas perlawanan.

“Saya tidak tahu. Sukar untuk menjelaskan apa yang saya rasa sekarang, sangat gembira. Bangga dan tidak tahu bagaimana untuk menerangkan.

“Hanya yang terbaik  dan ia adalah hari terbaik dalam hidup saya sekarang,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.

Setahun lalu, Sabalenka tersingkir pusingan keempat di Melbourne Park dan terpaksa merombak aksi servisnya selepas melakukan 56 kesalahan berganda.

“Saya belajar perlu lebih tenang di gelanggang dan saya tidak perlu tergesa-gesa, hanya perlu bermain mengikut permainan saya, bertenang, dan percaya pada diri sendiri.

‘Saya fikir dalam dua minggu ini saya benar-benar tenang di gelanggang, dan saya sangat percaya pada diri saya sendiri,  untuk memenangi gelaran ini,” tegasnya.

Tambah Aryna, dia menghamburkan sokongan kepada Elena atas aksi dipamerkan yang dianggap luar biasa.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Elena untuk dua minggu yang luar biasa.

“Anda adalah pemain yang hebat dan harap kita akan mengharungi lebih banyak lagi pertarungan terutamanya di pentas final Grand Slam,” jelasnya.

Aryna bangkit dari ketinggalan untuk meraih gelaran kejuaraan.