MAJALAH Forbes telah menamakan pemegang hak komersil Formula 1, Liberty Media Group sebagai empayar sukan paling bernilai untuk tahun 2023.

Forbes menganggarkan sukan itu bernilai sejumlah USD 173 juta, meningkat 23 peratus dari tahun lalu meskipun berlaku sedikit perubahan dalam cara penilaian sesebuah francais sukan yang dimiliki syarikat berbentuk empayar.

Dalam pelbagai bidang perniagaan yang diceburi Liberty Media, F1 adalah perniagaan mereka yang paling bernilai dengan nilai anggaran USD 20 bilion yang hanya memerlukan sembilan bulan sahaja untuk ditamatkan keseluruhan kalender semusim.

 

Sebagai tambahan kepada nilai sedia ada, harga saham F1 juga meningkat 5 peratus selepas urusan hak penyiaran televisyen dan komersil baharu yang ditandatangani antara Formula One Management dengan Liberty Media.

Formula 1 kini menjadi antara sukan paling popular di dunia selepas Liberty Media yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengambil alih dari Bernie Ecclestone dengan menjadikan sukan ini lebih interaktif dan mudah untuk diikuti.

Kesemua venue yang menganjurkan perlumbaan F1 menyaksikan rekod kapasiti apabila lebih banyak peminat baharu muncul selepas Liberty Media menandatangani perjanjian dengan Netflix untuk menerbitkan dokumentari ‘Drive To Survive’ yang menjadi ikutan di seluruh dunia.

Selain itu, siri ‘Drive To Survive’ juga banyak membantu Formula 1 meluaskan pengaruh di pasaran terbesar dunia, Amerika Syarikat apabila kini tiga perlumbaan bakal berlangsung di sana berbanding satu sebelum ini.

Secara tradisi, F1 hanya dianjurkan di Litar COTA di Austin Texas dan pada tahun 2022, satu lagi perlumbaan telah berjaya dilangsungkan di Miami dan untuk musim 2023, Grand Prix Las Vegas bakal berlangsung sekaligus meningkatkan lagi nilai komersil sukan mewah ini.

Musim 2023 bakal menyaksikan 23 perlumbaan berlangsung bermula dari Grand Prix Bahrain pada Mac dan berakhir di Grand Prix Abu Dhabi pada penghujung November 2023.