KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) mengharapkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menilai semula format yang digunakan pada Piala Dunia Hoki 2023 yang bersifat tidak adil buat pasukan negara.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, format yang diguna pakai pada edisi kali ini memberi kesan kepada kedudukan akhir Malaysian Tigers di kejohanan itu.

“Bagi saya format kali ini tidak adil kerana kalau diikutkan kita sepatutnya bermain untuk klasifikasi tempat ke-9 hingga ke-12. Macam mana Afrika selatan yang hanya menang sekali dan kita menang tiga perlawanan tetapi mereka tamatkan saingan lebih tinggi dari kita.

“Sepatutnya kalau ikut logik kita akan tamatkan saingan lebih tinggi dari Afrika Selatan. Malah ketika menentang Afrika Selatan mereka dapat rehat lebih lama dan kita pula perlu bergerak ke venue yang lebih jauh dan ia menyebabkan pemain penat.

“Ini cuma pandangan saya sahaja. Jadi saya berharap FIH dapat lihat semula format yang digunakan pada Piala Dunia kali ini untuk kejohanan yang akan datang,” katanya pada sidang media Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM Kali Ke-13 (Penggal 2019/2023), pada Ahad.

Subahan memaklumkan KHM akan cuba memastikan format tidak adil itu tidak akan digunakan pada Piala Dunia Remaja Hoki, hujung tahun ini.

Pada edisi Piala Dunia kali ini, skuad negara menamatkan saingan di kedudukan ke-13 berkongsi kedudukan bersama Perancis selepas menewaskan Jepun 3-2, Sabtu.

Berdasarkan format baharu di Piala Dunia 2023, pasukan tercorot dalam setiap kumpulan berpeluang memperbaiki kedudukan akhir apabila mereka akan bermain untuk penentuan tempat ke-9-16.

Berbanding edisi sebelum ini pasukan yang berada di kedudukan tercorot kumpulan, kedudukan akhir mereka akan ditentukan menerusi bilangan mata yang dikumpul pada aksi peringkat kumpulan.

Tambah Subahan lagi, KHM akan cuba memastikan format tidak adil itu tidak akan digunakan pada Piala Dunia Remaja Hoki yang akan berlangsung di Kuala Lumpur hujung tahun ini.

“Untuk Kejohanan Piala Dunia Remaja, kami ada kelebihan yang mana MHC akan terlibat. Dalam satu atau dua minggu lagi kita akan bermesyuarat.

“Dalam mesyuarat itu kita akan suarakan perkara ini dan harap FIH akan dengar berkenaan isu ini dan akan menukarnya pada kejohanan berkenaan,” tegasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Subahan turut memaklumkan penerimaan perletakan jawatan Timbalan Presiden KHM, Prof Datuk Dr S Shamala.

“Telah bincang peletakan jawatan (Shamala), sebenarnya satu surat telah terima dan beliau (Shamala) memberikan alasan kesihatan.

“Ahli mesyuarat sebulat setuju bersetuju dan menerima perletakan jawatan tersebut, KHM tidak pernah lupa jasa serta pengorbanannya hampir 20 tahun.

“Kami rasa amat terhutang budi atas pengorbanan diberikannya kepada KHM dan berdoa beliau sembuh secepat mungkin,” ujarnya.