PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner meluahkan rasa tidak gembira dengan kalendar Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 baru-baru ini yang disifatkannya menggangu rentak segelintir pemain yang beraksi secara berterusan.

Perkara ini dilihat sendiri pengendali Croatia itu yang merasa perubahan ditunjukkan oleh pemainnya Azam Azmi Murad serta pemain import yang baharu dibawa masuk dari Thailand, Adisak Kraison.

 

“Banyak penyokong yang memandang tinggi kepada Adisak kerana dia adalah pemain yang popular tetapi dia mempunyai masalah yang sama dengan pemain pertahanan, Azam Azmi Murad.

“Azam kelihatan berbeza jika dibandingkan dengan musim lalu ketika saya menjadi Pengarah Teknikal. Dia berterusan bermain selepas tamat musim dan ini tidak baik untuk setiap pemain.

“Walaupun selepas diberikan cuti selama satu minggu dia masih tidak seperti yang saya harapkan, dia kelihatan berbeza tetapi saya harap dia akan kembali semula memberikan aksi seperti dahulu,” jelasnya selepas aksi perlawanan persahabatan pra musim bertemu Kuala Lumpur City FC, Ahad malam.

Pun begitu, bagi aksi persahabatan ini Steinbruckner tetap berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan skuadnya yang dibarisi  pemain baharu.

“Saya berpuas hati dengan perlawanan ini selepas melakukan persiapan selama tiga minggu setengah dan apa yang penting tidak ada pemain yang cedera. Namun keputusan seharusnya lebih baik untuk kami kerana ini adalah satu perlawanan yang cukup baik.

“Keputusan yang baik adalah indikator untuk menentukan atmosfera yang baik dalam pasukan. Saya tidak mahu tewas dalam setiap perlawanan persahabatan kerana ianya penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan dan juga diri saya sendiri.

“Saya kini sedang menyediakan pasukan untuk mampu beraksi selama 90 minit dan mahu memastikan pasukan ini tahu apa yang perlu dilakukan ketika di dalam padang sama ada ketika menyerang atau bertahan,” jelasnya.

Terengganu kini akan berhadapan Negeri Sembilan untuk perlawanan seterusnya sebelum terbang ke Thailand pada 7 Februari 2023 untuk menentang empat buah kelab dengan dua pasukan divisyen dua Thailand serta kelab Odensk dari Denmark dan kelab Divisyen 1 Thailand, Chonburi FC.

Steinbruckner menganggap kesemua perlawanan ini sebagai aksi pemanas badan yang berkualiti dan akan menggunakan sebagai medan untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim bagi merebut Piala Sumbangsih.

“Walaupun kami adalah pasukan dengan barisan pemain baharu, saya yakin kami mampu memberikan saingan kepada JDT ketika aksi pembukaan Piala Sumbangsih nanti,” tambahnya.

Skuad Penyu melakukan perubahan besar-besaran pada pasukan dengan barisan kejurulatihan dan pemain import yang baharu selepas berjaya menduduki tangga kedua Liga Super dan layak ke pertandingan Piala AFC musim 2023/24.