KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak mengakui pasukannya masih tidak tahu untuk bermain dengan kehadiran penyerang tulen selepas lama tidak mempunyai pemain penyerang dan masih memerlukan masa untuk membentuk keserasian.

Ini selepas skuadnya hanya seri 0-0 menentang Terengganu FC ketika aksi pertama persahabatan pra musim di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.

Namun dia dapat merasakan sesuatu yang positif dari pasukan ini dan tidak mahu meletakkan sasaran utama sebaliknya mahu memperbaiki kedudukan dan liga selain mengintai peluang dalam pertandingan piala.

 

Bojan juga tidak melatah walaupun kehilangan pembantu dan rakan karibnya, Nenad Bacina sebaliknya kini gembira dengan kehadiran pembantu jurulatih baharu, Miroslav Kuljanac yang sudah mengenali bola sepak Asia Tenggara.

“Ini adalah perlawanan pertama kami. Para pemain masih tidak cergas dari sudut fizikal dan dapat dilihat kedua-dua pemain agak berat tetapi Terengganu kelihatan lebih baik kerana mereka sudah bermain dalam tiga perlawanan.

“Bagi kami pula, ini adalah perlawanan pertama kami dan ianya mungkin terlalu kuat tetapi bagus untuk para pemain kerana kita dapat melihat siapa yang boleh bermain dan siapa yang tidak boleh bermain. Selain itu semua pemain juga kini bermula dari awal untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Untuk perlawanan ini kami berjaya mengekalkan bentuk terutama pertahanan dengan baik untuk 60 minit sebelum pada satu saat pemain mula kepenatan kerana tidak mempunyai tahap kecergasan dan mula melakukan kesilapan namun untuk perlawanan pertama ianya baik dan beberapa perkara perlu diperbaiki.

“Sejujurnya, Caion dan Kipre banyak melakukan gerakan yang baik namun dalam beberapa situasi kami gagal manfaatkannya kerana kami tidak biasa bermain dengan penyerang tulen. Kami masih tidak tahu bagaimana menggunakan penyerang dan kini kami perlukan lebih perlawanan dan latihan untuk mengadaptasi dan menambah keserasian dalam pasukan.

“Saya tidak mahu meletakkan sasaran. Sebelum ini kami mengakhiri liga di tangga keenam dan semua menganggapnya sebagai kejayaan terbaik dan kami sepatutnya perlu lebih baik dan kami akan cuba mencari peluang di pertandingan piala selepas menang Piala Malaysia pada 2021 dan bermain di final Piala AFC musim lalu.

“Pasukan ini menunjukkan sesuatu yang positif namun kami perlukan masa untuk lebih serasi. Apabila pemain penyerang sudah mula menjaringkan gol, semuanya akan menjadi lebih baik kerana bahagian lain seperti pertahanan dan tengah, kami tidak mempunyai masalah.

“Kehilangan Nenad tidak berapa terasa kerana saya pernah bekerja dengan beberapa jurulatih lain dan kini saya mempunyai pembantu jurulatih baharu, Miroslav Kuljanac yang sudah faham dengan selok belok bola sepak Asia Tenggara,” katanya selepas perlawanan.

Kuala Lumpur City FC akan bertemu Kelantan United selepas ini sebelum menentang Perak untuk Piala Menteri Wilayah Persekutuan dan kemudiannya akan menentang kelab Singapura, Geylang International dengan kesemua perlawanan diadakan di Cheras.